Cubaan menghantar lapan ekor burung kakak tua spesies Macaw bernilai kira-kira RM400,000 terbongkar selepas dua lelaki ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Bandar Tumpat, semalam.
Kedua-dua suspek berusia 28 dan 31 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.30 petang selepas pemeriksaan dilakukan terhadap sebuah kereta Proton Waja yang membawa empat sangkar berisi burung berkenaan.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit sah bagi pemilikan hidupan liar tersebut.
Upah Hanya RM400
Menurut beliau, hasil soal siasat awal mendapati seorang daripada suspek mengaku mengambil burung itu di Kampung Kelaboran sebelum dijanjikan bayaran RM400 untuk menghantar empat sangkar tersebut ke Stesen Bas Kota Bharu.
Burung berkenaan kemudiannya dipercayai akan dibawa ke Johor oleh individu lain yang masih belum dikenal pasti.
“Hasil soal siasat awal mendapati seorang daripada suspek mengaku mengambil burung itu di Kampung Kelaboran dan dijanjikan upah RM400 bagi menghantar empat sangkar berkenaan ke Stesen Bas Kota Bharu sebelum dibawa ke Johor oleh individu lain yang masih belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rampasan Lebih RM410,000
Ahmad Radzi berkata, selain lapan burung Macaw, pihaknya turut merampas kenderaan yang digunakan serta empat sangkar, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM410,400.
Kes berkenaan kini diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Beliau berkata PGA akan terus memperkukuhkan operasi bersama agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan penyeludupan hidupan liar serta jenayah rentas sempadan yang boleh menjejaskan khazanah negara.
Sumber: Bernama
