Pantai Timur Catat Kadar Penagihan Pil Kuda Tertinggi Di Negara

Negeri-negeri di Pantai Timur mencatat kadar penagihan dadah sintetik tertinggi di negara ini, khususnya pil kuda, selari dengan peningkatan penggunaan bahan terlarang itu dalam kalangan penagih.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, kebanyakan kes penyalahgunaan dadah sintetik membabitkan amphetamine-type stimulants (ATS) seperti syabu, pil kuda dan ekstasi.

Menurut beliau, di Pantai Timur, pil kuda dan syabu menjadi antara dadah yang paling banyak disalahgunakan berbanding heroin atau ganja.

84 Peratus Penagih Dadah Sintetik Adalah Belia

Ruslin berkata, golongan belia berusia antara 15 hingga 39 tahun merupakan kumpulan paling ramai terbabit dalam penyalahgunaan dadah sintetik apabila mewakili 84 peratus daripada keseluruhan penagih bahan tersebut.

Katanya, dadah sintetik semakin diterima sebagai sebahagian daripada gaya hidup segelintir golongan muda kerana mudah diperoleh serta memberi kesan lebih cepat berbanding dadah tradisional.

Beliau berkata, pengaruh rakan sebaya menjadi faktor utama yang mendorong golongan belia terjebak dengan penyalahgunaan dadah sintetik.

Selain itu, masalah keluarga, konflik rumah tangga, tekanan emosi serta masalah hubungan sosial turut dikenal pasti antara punca seseorang mengambil dadah untuk melepaskan tekanan.

Kes Gangguan Mental Dalam Kalangan Penagih Meningkat

Ruslin berkata, peningkatan penggunaan dadah sintetik turut membawa cabaran baharu kepada AADK apabila semakin ramai penagih mengalami dual diagnosis, iaitu ketagihan dadah dan gangguan mental secara serentak.

Setakat Mac lalu, seramai 1,346 individu atau 27 peratus daripada 5,030 penagih dan penyalah guna dadah yang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dikenal pasti mengalami keadaan tersebut.

Jumlah itu meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu yang merekodkan 548 individu atau enam peratus daripada 9,361 penagih.

Menurut beliau, gangguan mental yang dialami termasuk kemurungan melampau, ketidakstabilan emosi dan halusinasi, sekali gus memberi cabaran besar kepada proses rawatan dan pemulihan.

Vape Turut Dikaitkan Dengan Dadah Sintetik

Ruslin berkata, AADK kini turut memberi perhatian terhadap penyalahgunaan dadah sintetik yang dicampurkan ke dalam cecair rokok elektronik atau vape.

Beliau berkata, modul rawatan sentiasa ditambah baik dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya selari dengan perubahan corak penyalahgunaan dadah serta dapat menangani aspek kesihatan mental penagih secara lebih berkesan.

Sumber: Berita Harian

SHARE:

TERKINI

PRN Johor: Khairuddin Ajak Ahli PAS Undi BN Di Kawasan Tidak Tanding
|
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Khairuddin Takiri…
Markas Ajaran Syiah Diserbu, 226 Individu Termasuk 28 Kanak-Kanak Diperiksa
|
Sebuah premis di Pusat Perdagangan Lagoon Perdana di Petaling…
KRW FC Laku Keras, Tarik Minat Syarikat Besar Jadi Penaja
|
Bakal beraksi di pentas tertinggi bola sepak negara musim…
Klinik Swasta Tanpa Tauliah, Warga Pakistan Jadi Doktor Palsu
|
Seorang lelaki warga Pakistan ditahan selepas disyaki menyamar sebagai…
Pantai Timur Catat Kadar Penagihan Pil Kuda Tertinggi Di Negara
|
Negeri-negeri di Pantai Timur mencatat kadar penagihan dadah sintetik…
Lebih 10 Tong Sampah PBT Dibakar, Kelantan Rugi Lebih RM100,000
|
Kerajaan Kelantan menanggung kerugian melebihi RM100,000 selepas lebih 10…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!