Kabinet Thailand Lulus Projek Bersama Malaysia Kurangkan Risiko Banjir Sungai Golok

Kabinet Thailand meluluskan pelaksanaan projek alam sekitar bersama Malaysia bagi mengurangkan risiko banjir, meningkatkan keselamatan air serta memulihkan ekosistem di Lembangan Sungai Golok yang menjadi laluan air utama merentas sempadan kedua-dua negara.

Projek berkenaan menerima pembiayaan sebanyak AS$4 juta (RM15.9 juta) daripada Kemudahan Alam Sekitar Global (GEF) dan akan dilaksanakan dalam tempoh 48 bulan dengan sokongan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).

Timbalan Jurucakap Kerajaan Thailand, Lalida Persvivatana berkata, projek itu dibangunkan secara bersama oleh Pejabat Sumber Air Kebangsaan Thailand dan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia.

Fokus Tangani Banjir Dan Hakisan

Menurut beliau, inisiatif tersebut bertujuan menambah baik pengurusan banjir, menangani hakisan tebing sungai serta memperkukuh pengurusan sumber air merentas sempadan di kawasan Lembangan Sungai Golok.

Katanya, projek itu turut mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuhkan keselamatan alam sekitar dan memastikan sumber air yang dikongsi bersama diurus secara mampan.

Perkukuh Kerjasama Dua Hala

Beliau menjelaskan, pelaksanaan projek itu akan meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Thailand melalui pembangunan pangkalan data bersama, penilaian risiko banjir serta kemarau, selain merangka pelan tindakan strategik untuk kawasan lembangan sungai tersebut.

Selain itu, projek berkenaan juga akan menggalakkan penggunaan penyelesaian berasaskan alam semula jadi bagi memulihkan ekosistem serta mengurangkan kesan cabaran alam sekitar terhadap komuniti yang tinggal di sepanjang lembangan sungai berkenaan.

Sungai Golok merupakan sebahagian daripada sempadan semula jadi antara selatan Thailand dan utara Semenanjung Malaysia serta sering terjejas akibat banjir bermusim yang memberi kesan kepada penduduk di kedua-dua negara.


Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

Negara Diancam “Melayu Phobia”, Perlu Akta Khusus Lindungi Asal Usul Melayu
|
Kerajaan digesa menggubal satu akta khusus yang memperuntukkan bahawa…
[VIDEO] Pelancong Indonesia Tertarik Penggunaan Tulisan Jawi Di Kelantan
|
Sejak penerbangan terus Jakarta-Kota Bharu dibuka pada 16 Jun…
Kereta Bawa 200,000 Batang Rokok Seludup Terbabas Dalam Tali Air Di Tumpat
|
Cubaan seorang penyeludup meloloskan diri daripada ditahan Pasukan Gerakan…
12 Pegawai Polis Ditahan Disyaki Peras Ugut Warga China RM2 Juta
|
Seramai 12 pegawai polis pelbagai pangkat ditahan selepas dipercayai…
Mbarga, Musa Dijangka Turun Beraksi Dalam Pusingan 16 Piala FA Golok
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) bakal meneruskan cabaran…
Wayang Kulit Kelantan Makin Sukar Bertahan, Permit Dan Kekurangan Pelapis Jadi Cabaran
|
Ramai menyangka Wayang Kulit Kelantan sudah tidak lagi diminati.Hakikatnya,…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!