Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Selangor tampil menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor apabila hadir ke Dataran Selangor bagi melawat Plak Monumen Rukun Negara seperti yang disarankan baginda sebelum ini.
Lawatan tersebut diketuai oleh Dato’ Dr Halim Tamuri bersama saf kepimpinan Dewan Harian PAS Selangor sebagai tanda menjunjung kasih serta menzahirkan taat setia kepada institusi diraja.
Datang Untuk Baca, Faham Dan Hayati
Menerusi hantaran di media sosial, PAS Selangor memaklumkan kehadiran mereka bertujuan membaca, memahami dan menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara yang disifatkan sebagai asas penting dalam membina masyarakat beradab serta bersatu padu.
“Rukun Negara bukan sekadar lafaz rasmi. Ia adalah asas penting dalam membina masyarakat yang beradab, bersatu padu, menghormati Perlembagaan dan memelihara kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu,” menurut hantaran itu.
Harap Titah Jadi Peringatan Dan Muhasabah
PAS Selangor turut berharap titah Sultan Selangor itu menjadi peringatan dan muhasabah kepada semua pihak khususnya dalam menjaga adab ketika berbeza pandangan serta memelihara keharmonian negeri dan negara.
“Semoga peringatan Tuanku menjadi muhasabah kepada semua pihak, khususnya dalam menjaga adab berbeza pandangan, memelihara keharmonian dan menunaikan tanggungjawab terhadap keamanan negeri serta negara,” katanya.
Hantaran tersebut turut diakhiri dengan ucapan menjunjung kasih kepada Sultan Selangor serta laungan “Daulat Tuanku”.
Teguran Sultan Selangor Sebelum Ini
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan teguran keras secara terbuka kepada beberapa wakil rakyat negeri itu agar lebih memahami serta menghayati prinsip Rukun Negara yang menjadi asas perpaduan negara.
Baginda secara khusus menegur Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki serta bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew supaya lebih kerap mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara yang terletak di hadapan Tiang Bendera Negeri Selangor di Dataran Selangor.
SHARE:
