Satu perkongsian video di TikTok memaparkan perkembangan terkini pembinaan Jambatan Ikonik Palekbang yang kini dilihat semakin rancak dijalankan.
Menerusi rakaman tersebut, kerja-kerja di tapak projek menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan, sekali gus memberi gambaran bahawa projek mega itu sedang bergerak mengikut perancangan.
Terdahulu, Kelantan Daily melaporkan bahawa projek Jambatan Ikonik Palekbang telah mencapai kemajuan 15 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun 2026.
Konsep Cable Stayed, Pylon Setinggi 120 Meter
Jambatan yang dibina menggunakan konsep cable stayed itu akan menampilkan pylon setinggi 120 meter, menjadikannya antara struktur paling menyerlah di Kelantan apabila siap kelak.
Pembinaan jambatan ini bukan sahaja untuk kegunaan pengangkutan, malah turut dirancang sebagai satu elemen landskap moden yang bakal mencantikkan pemandangan pesisir Sungai Kelantan.
Ia dijangka menjadi penghubung penting antara Tumpat dan Kota Bharu, sekali gus memberi pilihan laluan baharu kepada pengguna jalan raya.
Dijangka Jadi Tarikan Ikonik Kelantan
Menurut kenyataan yang pernah dilaporkan sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif ECERD, Datuk Baidzawi Che Mat berkata jambatan berkenaan akan menjadi satu-satunya jambatan di Kelantan yang menampilkan elemen seni bina ikonik.
Gambaran Jambatan Palekbang apabila siap kelak
Beliau menjelaskan, reka bentuk jambatan itu dijangka menjadi tarikan visual bukan sahaja kepada penduduk tempatan, malah pelancong yang berkunjung ke negeri ini.
Kurangkan Kesesakan, Sokong Pembangunan Pesisir Sungai
Selain menjimatkan masa perjalanan, jambatan ini turut dijangka mampu mengurangkan kesesakan di Jambatan Sultan Yahya Petra, yang kini menjadi laluan utama menghubungkan beberapa kawasan sekitar Kota Bharu.
Dalam masa sama, projek ini turut menyokong pembangunan pesisir sungai termasuk inisiatif seperti Kota Bharu Promenade dan River Cruise, yang dijangka menjadi antara tarikan baharu serta pemangkin pembangunan di kawasan berkenaan.
Jika semuanya berjalan lancar, Jambatan Ikonik Palekbang bakal menjadi simbol moden baharu yang bukan sahaja memudahkan pergerakan rakyat, malah menambah seri landskap Kota Bharu.
SHARE:
