“Saya Hanya Terlewat Beberapa Minit…” – Ibu Murid Maut Dilanggar Van Depan Sekolah

“Saya terlewat hanya beberapa minit sebelum melihat anak terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri.”

Itu luahan penuh sebak seorang ibu, Asmilah Tukiran, 37, selepas anaknya yang merupakan murid Tahun Dua, Nur Aini Umairah Mohd Fareez, maut akibat dilanggar sebuah van di hadapan pintu pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, Batu Pahat, tengah semalam.

Asmilah berkata, kelewatannya berlaku kerana dia perlu menguruskan anak bongsunya, Ahmad Sufi Mohd Fareez, 5, yang baru pulang dari prasekolah tidak jauh dari rumah mereka kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, dia memandikan serta menukar pakaian anak bongsunya terlebih dahulu sebelum keluar semula dari rumah kira-kira 10 minit kemudian untuk mengambil Nur Aini Umairah, 8.

“Apabila tiba di hadapan pintu pagar sekolah, saya nampak orang ramai berkerumun. Ketika itu, hati saya tertanya-tanya siapa yang dikerumuni itu.

“Saya terdengar ada murid lain bercakap dan menyebut nama ‘Aini’. Saya terus berjumpa guru untuk bertanya siapa yang sedang terbaring kaku itu.

“Apabila cikgu memberitahu murid itu adalah anak saya sendiri, badan saya terus lemah. Saya tidak sanggup melihat jenazah kerana keadaannya sangat parah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), petang tadi.

Asmilah memaklumkan, sebelum ini dia sentiasa mengingatkan anaknya supaya menunggu di dalam pagar sekolah setiap kali sesi persekolahan tamat.

“Biasanya apabila saya sudah tiba, barulah Nur Aini Umairah keluar dari pagar sekolah.

“Namun ketika kejadian, saya tidak tahu kenapa anak berada di luar pagar... mungkin dia mahu membeli sesuatu,” katanya.

Dalam pada itu, Asmilah mengakui dia masih belum cukup kuat untuk menerima ujian tersebut, apatah lagi dia pernah kehilangan dua insan tersayang pada hari yang sama pada Januari tahun lalu.

“Kesedihan pada Januari tahun lalu masih belum terubat. Ibu saya, Allahyarhamah Saonah Kasmi, 58, meninggal dunia dua jam selepas nenek, Allahyarhamah Bayah Sadiran, 84, menghembuskan nafas terakhir.

“Ketika itu, ibu datang menziarahi jenazah nenek pada jam 6.45 petang, sebelum dia menyusul kira-kira dua jam kemudian.

“Bayangkan, dua insan tersayang pergi dalam masa dua jam... dan hari ini, saya sekali lagi diuji.

“Inilah dugaan yang saya sedang lalui. Namun, saya perlu menguatkan diri agar anak dapat meneruskan kehidupan pada masa akan datang,” katanya.

Jenazah Nur Aini Umairah selamat dikebumikan bersebelahan pusara neneknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Mustaffa, Parit Sulong pada jam 8.35 malam tadi.

BERKAITAN:
Murid Tahun Dua Maut Dilanggar Van Depan Pagar Sekolah
Pemandu Van Warga Emas Ditahan Kes Langgar Murid Depan Sekolah


Terdahulu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani dilaporkan berkata pemandu van berusia 60 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sumber: Berita Harian

SHARE:

TERKINI

Rogol Anak Tiri Sejak Tingkatan Dua, Jurukimpal Dihukum 33 Tahun Penjara Dan 32 Sebatan
|
Seorang bapa tiri dihukum penjara 33 tahun dan 32…
Harumanis Bachok Mula ‘Mengharum’, Pesara Jana Ekonomi Baharu
|
Ketika ramai memilih berehat selepas bersara, sekumpulan pesara di…
“Saya Sudah Maafkan Pakcik Itu…” – Bapa Nur Aini Umairah
|
“Untuk pakcik yang melanggar anak saya, saya sudah memaafkannya.”…
Eda Ezrin Selamat Bersalin Anak Ketiga, Timang Bayi Perempuan
|
Penyanyi lagu dialek Kelantan, Eda Ezrin, selamat melahirkan anak…
[VIDEO] Jemaah Subuh Terkejut, Pesara Tentera Meninggal Dunia Ketika Sujud Di Tanah Merah
|
Jemaah solat subuh di Masjid As-Syakirin Mukim Kelewek, Tanah…
“Saya Hanya Terlewat Beberapa Minit…” – Ibu Murid Maut Dilanggar Van Depan Sekolah
|
“Saya terlewat hanya beberapa minit sebelum melihat anak terbaring…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!