Padah membakar sampah tanpa kawalan, polis menahan seorang wanita tempatan selepas disyaki menyebabkan kebakaran hingga mendatangkan kerosakan awam dalam kejadian petang semalam.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, wanita itu ditahan kira-kira jam 4.30 petang selepas polis menerima aduan kebakaran membabitkan kawasan semak dan sebuah kenderaan terbengkalai di Lot 43, Jalan Pantai Perkasa.
Menurut beliau, pengadu dimaklumkan orang awam bahawa kawasan semak serta rangka kenderaan di hadapan sebuah rumah terbengkalai terbakar sebelum api marak dan merebak hingga menghampiri rumah pengadu.
Bagaimanapun, kebakaran berjaya dipadamkan oleh orang awam.
Hasil siasatan lanjut mendapati terdapat kesan pembakaran sampah di atas tanah milik seorang wanita tempatan yang terletak bersebelahan tempat kejadian.
Berdasarkan keterangan saksi, suspek dilihat melakukan aktiviti pembakaran sampah di kawasan itu sekitar jam 11.30 pagi pada hari kejadian.
Seorang wanita kemudian ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai dengan api atau bahan mudah bakar sehingga membahayakan harta benda.
Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa kawalan kerana ia boleh mengundang risiko kebakaran serta tindakan undang-undang.
Sumber: Buletin TV3
SHARE:
