Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam sedikit hangat apabila isu kegiatan lepak dan “rempit” di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) dibangkitkan dalam perbahasan.
Isu itu disentuh oleh ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim, yang mengaitkan masalah sosial tersebut dengan kawasan sekitar lapangan terbang baharu berkenaan.
Namun, suasana sidang menjadi lebih panas apabila ADUN Melor, Wan Rohimi Wan Daud, bangkit mencelah mempertahankan situasi itu.
Menurut Wan Rohimi, perbuatan melepak di lapangan terbang tidak sepatutnya dianggap satu kesalahan besar, malah beliau menyifatkan ia perkara biasa selagi tidak melibatkan aktiviti jenayah.
Beliau turut menyebut bahawa mereka yang berada di situ hanya melepak dan bukannya melakukan perkara lebih serius seperti menghisap dadah.
Tambahnya lagi, masyarakat sepatutnya diberi ruang untuk menikmati kemudahan bangunan baharu LTSIP yang dibangunkan.
Malah, Wan Rohimi berkata jika diberi peluang, beliau sendiri juga mahu melepak di kawasan tersebut.
Beliau menegaskan isu berkenaan tidak perlu diperbesarkan.
Susulan itu, klip video perbahasan dalam sidang DUN tersebut menjadi tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi netizen.
SHARE:
