Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau selamat tiba di Kota Bharu, Kelantan bagi meneruskan usaha mendekati keperluan rakyat serta memastikan agenda pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan tertib dan berkesan.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata sebaik tiba beliau terus ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) bagi merasmikan Terminal Baharu, yang disifatkan sebagai satu pencapaian penting dalam memperkukuh infrastruktur pengangkutan udara negara.
Menurut beliau, pembangunan itu turut mengangkat Kota Bharu sebagai gerbang utama ke Pantai Timur Semenanjung dengan keupayaan yang lebih moden dan efisien.
Dalam ucapannya, Anwar menegaskan pembangunan tersebut bukan sekadar meningkatkan mutu perkhidmatan, malah berperanan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat termasuk sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan yang bakal memberi limpahan manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata, terminal baharu yang lebih besar, selesa dan kondusif itu menjadi bukti ikhtiar Kerajaan MADANI dalam merancakkan ekonomi Kelantan dan Pantai Timur secara keseluruhannya.
Antara penambahbaikan utama, kapasiti terminal kini meningkat daripada 1.5 juta kepada 4 juta pengguna setahun, selain membuka peluang laluan baharu ke pasaran antarabangsa.
Mengakhiri kenyataan, beliau menyeru agar sinergi seluruh jentera Persekutuan dan Negeri terus digembleng bagi meneroka peluang pembangunan sektor strategik demi pembangunan Malaysia yang lebih inklusif dan makmur.
SHARE:
