Tragedi pilu yang meragut nyawa pelajar Tingkatan Satu, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Kota Bharu semalam, mengundang sebak ramai apabila bapa mangsa tampil dengan kenyataan penuh reda.
Bapa mangsa, Mohd Azaudin Abdullah, 43, berkata dia memaafkan guru wanita yang dipercayai memandu kenderaan sehingga merempuh anaknya dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari itu.
“Sebagai bapa, saya memaafkan guru berkenaan dan selebihnya saya serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Reda, Tak Marah Walau Lihat Anak Terbujur Kaku
Menurut Mohd Azaudin, ketika berada di lokasi kejadian semalam, dia hanya bertanya siapakah yang melanggar anaknya sebelum guru terbabit mengaku bahawa dialah yang merempuh Fatimatul Hawa.
Namun katanya, dia tidak memarahi guru berkenaan dan hanya berdiam diri walaupun melihat jasad anaknya terbujur kaku.
Beliau turut memaklumkan majlis tahlil dijangka diadakan di surau berhampiran rumah mereka di Kampung Chepa malam ini.
Ibu Saudara Juga Sedia Memaafkan
Dalam perkembangan sama, ibu saudara mangsa, Zuraifah Noor, 43, yang juga penjaga utama arwah sejak lima tahun lalu turut menyatakan kesediaan untuk memaafkan.
Ibu saudara mangsa. (Foto: NSTP | Nik Abdullah Nik Omar)
Bagaimanapun, beliau menyerahkan keputusan sepenuhnya kepada bapa arwah dan ahli keluarga lain.
“Saya sebagai ibu saudara yang juga penjaga utama arwah sejak lima tahun lalu sedia untuk memaafkan. Namun, bagi pihak bapa arwah dan ahli keluarga yang lain saya serahkan sepenuhnya kepada mereka,” katanya.
Menurut Zuraifah, keluarga masih dalam keadaan terkejut dan belum bersedia memikirkan sebarang tindakan undang-undang.
Keluarga Serah Kepada Polis Dan KPM
Zuraifah berkata, buat masa ini keluarga tidak bercadang mengambil tindakan sendiri kerana tidak mahu mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.
Mereka menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis serta Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyiasat mengikut peruntukan undang-undang.
Beliau turut menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal kerana berlaku di kawasan yang sepatutnya tidak dilalui kenderaan.
“Kita percaya ini semua ketentuan Allah SWT. Kita manusia tiada siapa yang mahu melanggar orang dengan sengaja. Apa yang berlaku di luar jangka,” katanya.
Guru Direman Dua Hari
Terdahulu, guru wanita berusia 57 tahun yang dipercayai merempuh dua pelajar perempuan di hadapan surau sekolah itu direman selama dua hari bermula hari ini hingga esok.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Wan Muhammad Izzat Wan Abdullah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian semalam, Nur Fatimatul Hawa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala, manakala seorang lagi pelajar cedera parah dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Sumber: Berita Harian
SHARE:
