KUALA LUMPUR – Isteri Pengarah Syarikat Maju Holdings Sdn. Bhd., Puan Sri Noor Azrina Mohd Azmi, 48, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin atas pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah lebih RM67 juta, lapan tahun lalu.
Tertuduh yang hadir memakai kot hitam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, Noor Azrina didakwa menerima wang sebanyak RM67,136,588.43 daripada akaun bank suaminya, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank miliknya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank, Bukit Tunku antara 6 Mac hingga 27 November 2017.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, memaklumkan kes itu termasuk dalam kategori tidak boleh diikat jamin, namun mencadangkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara.
Peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, tidak membantah cadangan tersebut dan turut bersetuju dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 3 November depan.
Sebelum ini, SPRM menyita aset bernilai kira-kira RM32 juta termasuk beg tangan berjenama, barang kemas, kenderaan mewah, jam tangan serta wang tunai yang dikaitkan dengan skandal pembinaan Lebuh Raya MEX II. Turut ditemui ialah stor menyimpan pelbagai minuman keras mewah bernilai sekitar RM3 juta yang dipercayai ada kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.
#KelantanDaily
Sumber: Sinar Harian, Berita Harian, Astro Awani
BACA JUGA: Pengarah projek lebuh raya dituduh pecah amanah RM313 juta, AMLA RM139 juta
