Dari Sawah Terbiar Kini Jadi Ikon Baharu Pelancongan Desa Di Jelawat, Bachok

Siapa sangka kawasan sawah padi yang suatu ketika dahulu sunyi, dipenuhi semak dan terbiar kini berubah wajah menjadi sebuah taman rekreasi komuniti yang indah dan mendamaikan, sekali gus muncul sebagai ikon baharu pelancongan di jajahan Bachok.

Terletak di Alor Bakat, Jelawat, Se Indah Park kini menjadi tarikan baharu pelancongan desa yang bukan sahaja memikat mata, malah menghidupkan kembali nadi komuniti setempat.

Dari Sawah Terbiar Ke Taman Rekreasi Komuniti

Transformasi luar biasa itu bukan digerakkan melalui peruntukan besar, sebaliknya lahir daripada semangat gotong-royong dan tekad masyarakat yang mahu melihat kawasan mereka tidak lagi dipandang sepi.

Se Indah Park Jelawat Bachok 2


Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Se Indah Park, Rahimah Rani berkata, idea membangunkan taman itu tercetus selepas komuniti setempat menyedari kawasan Jelawat tidak mempunyai lokasi khusus untuk aktiviti riadah, rekreasi keluarga atau tempat santai untuk orang ramai.

Jelawat Dahulunya Terpinggir Dari Tarikan Rekreasi

Menurut Rahimah, berbeza dengan kawasan Tawang dan Pantai Irama yang memiliki pantai sebagai tarikan utama, Jelawat dilihat seolah-olah ‘terpinggir’ walaupun mempunyai potensi alam semula jadi yang besar.

Se Indah Park Jelawat Bachok 3


“Kami berbincang dengan ADUN Jelawat, Zameri Mat Nawang untuk mencipta satu ruang komuniti berkonsepkan eco-pelancongan.

“Dari situ timbul idea mengolah sawah padi dan tanah kosong yang tidak terjaga ini menjadi satu kawasan yang memberi manfaat kepada orang ramai,” katanya.

Keindahan Alam Semula Jadi Jadi Tarikan Utama

Rahimah berkata, kawasan itu sebenarnya dianugerahkan pemandangan yang sangat cantik, dikelilingi sawah padi menghijau, bukit-bukau mendamaikan, aliran sungai yang tenang serta suasana desa yang nyaman.

Katanya, suasana pada waktu petang dengan angin sepoi-sepoi bahasa menjadikan kawasan itu sangat sesuai untuk rehat minda dan jiwa.

Dibina Tanpa Dana Besar, Hanya Bermodal Semangat

Menurut beliau, penubuhan komuniti pengurusan Se Indah Park bermula tanpa sebarang dana, sebaliknya dibangunkan sepenuhnya melalui tenaga sukarelawan, penduduk kampung, petugas tempatan, penghulu serta sokongan pemimpin setempat.

Se Indah Park Jelawat Bachok 4


“Semua ini dibina daripada semangat kebersamaan. Tiada peruntukan besar, tetapi ada usaha, keikhlasan dan kesungguhan komuniti. Setiap orang menyumbang tenaga, idea dan masa,” ujarnya.

Dalam tempoh hampir setahun, kawasan yang dahulunya terbiar itu berjaya dibangunkan secara berperingkat sehingga terhasil sebuah dataran terbuka yang kini menjadi pusat aktiviti masyarakat.

Ramadan Jadi Titik Permulaan Se Indah Park Dikenali

Rahimah berkata, Se Indah Park mula diperkenalkan secara lebih meluas kepada orang ramai pada Ramadan lalu apabila pelbagai kemudahan asas disediakan termasuk bekalan air, tandas awam, pencahayaan, khemah solat dan kawasan berbuka puasa.

“Mula-mula kami hanya war-warkan secara kecil-kecilan. Tapi hari pertama dibuka, sudah ada orang datang berbuka puasa di sini. Dari situ kami nampak sambutan yang sangat positif,” katanya.

Buka Peluang Rezeki Untuk Peniaga Tempatan

Menurut beliau, peniaga tempatan turut diberi peluang untuk berniaga di kawasan tersebut, sekali gus membuka ruang rezeki kepada penduduk sekitar.

Se Indah Park Jelawat Bachok 5


Kini, Se Indah Park bukan sekadar taman rekreasi, malah menjadi pusat komuniti yang menghidupkan ekonomi setempat melalui gerai makanan, aktiviti sosial, program komuniti serta kunjungan pengunjung dari luar kawasan.

Ruang Kebersamaan Dan Terapi Semula Jadi

Rahimah berkata, taman itu menjadi ruang kebersamaan masyarakat, tempat anak-anak bermain, keluarga bersantai, warga emas berehat serta belia berkumpul dalam suasana harmoni.

Tambahnya, keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara menjadikan Se Indah Park bukan sekadar lokasi riadah, tetapi juga ‘terapi semula jadi’ bagi mereka yang ingin lari seketika daripada kesibukan hidup.

Harapan Jadi Destinasi Pelancongan Desa Kelantan

Dalam masa sama, beliau berharap Se Indah Park dapat terus berkembang sebagai produk pelancongan komuniti, sekali gus mengangkat Jelawat dan Alor Bakat sebagai destinasi baharu pelancongan desa di Kelantan.

“Ini bukan sekadar taman, tetapi simbol kebangkitan komuniti. Dari sawah padi, kini lahir sebuah ruang indah yang memberi manfaat kepada semua,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

AS Akan “Berundur’ Dari Iran Dalam Tempoh 2 Hingga 3 Minggu
|
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa tentera Amerika akan…
Bersedia Hadapi Peningkatan Kos Bahan Api Bagi Penjanaan Elektrik
|
Malaysia perlu bersedia menghadapi kemungkinan peningkatan kos bahan api…
Pemandu Mabuk, Positif Dadah Hadapi Tuduhan Bunuh
|
Seorang juruteknik yang dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah…
Dari Sawah Terbiar Kini Jadi Ikon Baharu Pelancongan Desa Di Jelawat, Bachok
|
Siapa sangka kawasan sawah padi yang suatu ketika dahulu…
Pelajar Terbaik Kelantan Raih 12A+ SPM, Hafiz al-Quran, Fasih 3 Bahasa
|
Impian seorang ibu yang tidak kesampaian untuk menjadi doktor…
Disahkan Autisme Pada Usia 16 Tahun, Pelajar SMKA Naim Lilbanat Raih 10A Dalam SPM
|
Walaupun disahkan menghidap autisme pada usia 16 tahun, seorang…
Jawatan Kosong Kelantan