Walaupun disahkan menghidap autisme pada usia 16 tahun, seorang pelajar dari Kelantan membuktikan kekurangan bukan penghalang apabila berjaya mencatat keputusan cemerlang 10A dan 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Menurut laporan Sinar Harian, Nur Syahirah Syazwani Zailani, 18, didiagnosis autisme oleh pakar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas menunjukkan simptom tekanan emosi serta kesukaran untuk bergaul.
Secara luaran, Nur Syahirah Syazwani kelihatan seperti remaja biasa, namun perjalanan akademiknya bukan mudah, lebih-lebih lagi apabila memilih aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat itu berkata, dia sendiri tidak menyangka mampu meraih keputusan sedemikian kerana pencapaiannya dalam peperiksaan percubaan hanya mencatat 7A, 1B dan 3C.
“Selepas percubaan tu, saya sebenarnya menyasarkan 8A sahaja.
“Jadi terkejut sangat apabila dapat keputusan 10A,” katanya ketika ditemui di SMKA Naim Lilbanat, Kota Bharu pada Selasa.
Dalam keputusan SPM tersebut, Nur Syahirah Syazwani memperoleh A+ bagi Matematik; A bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Bahasa Arab, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah.
Beliau turut mendapat A- bagi Kimia, Fizik dan Biologi, manakala B bagi Matematik Tambahan.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia memilih untuk mengulang kaji di rumah bagi mengelakkan tekanan sosial, selain memberi tumpuan sepenuhnya ketika sesi pembelajaran di dalam kelas.
Selain itu, beliau turut mengikuti tuisyen dalam talian dan kelas tambahan di sekolah serta memperuntukkan sekitar tiga hingga empat jam sehari untuk ulang kaji.
Dalam masa sama, amalan rohani juga memainkan peranan besar dalam membantunya mengekalkan ketenangan dan fokus.
“Saya selalu membaca al-Quran, terutamanya Surah al-Mulk, al-Kahfi dan Yasin untuk menenangkan diri sebelum belajar dan meningkatkan fokus.
“Pesan saya kepada adik-adik lain yang nak berjaya, tumpu pelajaran awal-awal, jangan belajar saat akhir kerana nanti akan stres,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Maznah Kadir, 51, mengakui pengalaman membesarkan anak istimewa penuh cabaran.
“Kadang-kadang dia enggan ke sekolah dan memberontak tanpa tahu punca.
“Kami tak pernah paksa dia belajar kerana tidak mahu menambah beban tetapi pencapaian dia ini sangat mengharukan saya,” katanya.
Bapa Nur Syahirah Syazwani, Zailani Zakaria, 57, yang bekerja sebagai peniaga insurans turut memainkan peranan penting dalam menyokong dan memantau perkembangan anak mereka.
Nur Syahirah Syazwani kini bercita-cita menyambung pengajian dalam program Asasi Sains di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan mengimpikan kerjaya dalam bidang teknologi maklumat.
Dalam kunjungan ke sekolah itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Siti Norina Muhamad turut hadir beramah mesra bersama Nur Syahirah Syazwani serta pelajar lain.
Beliau berkata, kejayaan pelajar tersebut membuktikan bahawa dengan sokongan keluarga, disiplin, amalan rohani dan keyakinan diri, individu yang menghidap autisme tetap mampu mencapai kecemerlangan setara rakan sebaya lain.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
