Kemarau Panjang: Lebih 10 Pesawah Rugi Hampir RM1 Juta, 50 Hektar Sawah Terjejas

Lebih 10 pesawah mengalami kerugian mencecah RM1 juta selepas tanaman padi mereka rosak akibat musim kemarau yang berpanjangan.

Pesawah yang terjejas terdiri daripada beberapa kampung di kawasan ini termasuk Kampung Belukar, Kampung Salor dan Kampung Beta Hilir, dengan kira-kira 50 hektar sawah dilaporkan mengalami kerosakan teruk.

Wakil pesawah, Hafizul Daud dari Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Tanjung Puri, berkata keadaan itu disifatkan sebagai kemarau paling buruk dalam tempoh enam musim penanaman.

“Kami berharap pihak KADA dan jabatan berkaitan dapat turun padang untuk melihat keadaan sebenar. Untuk menyelamatkan tanaman, kami terpaksa menggunakan pam air, namun kosnya sangat tinggi. Kami berharap kerajaan dapat membantu kami sebaik mungkin,” katanya.

Terpaksa Pam Air Sendiri, Kos Bahan Api Tinggi

Menurut Hafizul, pesawah kini berdepan kesukaran akibat masalah bekalan air daripada sistem pengairan Kemubu, menyebabkan mereka terpaksa menanggung kos tambahan bagi mendapatkan sumber air alternatif.

“Ini musim keenam dan paling teruk setakat ini. Kami mempunyai banyak komitmen termasuk persekolahan anak-anak. Kami sudah mengeluarkan kos yang tinggi untuk jentera dan perbelanjaan lain dan kini terpaksa menanggung kerugian,” katanya.

Pesawah Rugi RM10,000 Setiap Musim

Sementara itu, seorang pesawah, Mohd Izat Afiq Mohd Yusof, 32, berkata beliau mengalami kerugian kira-kira RM10,000 bagi setiap musim apabila lapan hektar sawah padinya di Salor gagal menjadi akibat kekurangan air.

“Saya berharap hasil padi dapat menjadi 100 peratus tetapi keadaan jadi begini amat memenatkan. Sudah lima musim kami berdepan masalah air tidak sampai ke kawasan sawah.

“Saya terpaksa menggunakan pam air sendiri, namun kos bahan api mencecah kira-kira RM70 sehari bagi satu pam. Jika menggunakan tiga hingga lima pam, kos menjadi terlalu tinggi,” katanya.

Beliau berkata walaupun kawasan mereka mempunyai sumber air melalui telaga tiub, kemarau berpanjangan tetap menyebabkan bekalan tidak mencukupi.

“Ini Antara Situasi Paling Sukar Pernah Saya Hadapi”

Seorang lagi pesawah, Sidik Ahmad Mohamad Nor, 65, berkata kesemua empat hektar sawahnya kini kering kontang akibat kemarau.

“Saya menjadi pesawah sejak berusia 20 tahun dan ini antara situasi paling sukar yang pernah saya hadapi. Kami keletihan dan harga bahan api juga meningkat, menambah beban kami.

“Sebelum ini ada bekalan air sekitar Oktober tetapi tidak bertahan lama sebelum terhenti semula,” katanya.

Kemarau berpanjangan yang melanda negeri ini bukan sahaja menjejaskan hasil padi, malah turut meningkatkan beban kewangan pesawah yang sudah mengeluarkan kos tinggi bagi jentera, baja dan pengurusan sawah sejak awal musim.


Sumber: Berita Harian

SHARE:

TERKINI

Fenomena Bau Asap Waktu Malam Di Kota Bharu Dan Bachok Cetus Tanda Tanya
|
Sejak beberapa malam kebelakangan ini, penduduk sekitar Kota Bharu…
Mangsa Ditembak Pencuri Lembu Di Ladang Kemahang Dibenar Pulang
|
Mangsa yang parah ditembak dipercayai pencuri lembu dalam kejadian…
Bukan Lagi Untuk Kayangan, HPUSM Tawar IVF Dengan Kos Jauh Lebih Rendah
|
Rawatan persenyawaan in vitro (IVF) kini bukan lagi sesuatu…
PGA Serbu Kilang Kayu Di Kuala Krai, Rampas Kayu Tidak Bercukai Bernilai RM1 Juta
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah kilang kayu yang…
Cuaca Panas Buatkan Itik ‘Merajuk’ Enggan Bertelur, Hilang Selera Makan
|
Seorang penternak itik telur di Kampung Sering, Kota Bharu…
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’, Kisah Hidup Prof Teo Kok Seong, Pakar Bahasa Dari Kelantan
|
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’ Nama Profesor Datuk Dr Teo…
Jawatan Kosong Kelantan