Cuti sekolah selama sembilan hari yang bermula semalam memberi sinar harapan kepada peniaga di Rantau Panjang untuk menerima lebih ramai pengunjung, meskipun masih wujud kebimbangan susulan insiden keselamatan di Narathiwat, Thailand.
Menurut laporan Bernama, tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang serta sekitar pekan berkenaan mendapati keadaan pada hari kedua cuti sekolah masih terkawal.
Peniaga tempatan menjangkakan jumlah pengunjung akan meningkat pada hujung minggu dan menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.
Pada Sabtu lalu, wilayah Narathiwat dikenakan perintah berkurung dari jam 10.15 malam hingga 5 pagi selepas berlaku lebih 50 insiden termasuk pengeboman, pembakaran pejabat kerajaan tempatan dan pembakaran tayar.
Letupan kuat dalam kejadian itu turut menggegarkan kediaman dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, termasuk di Kampung Lubok Gong dan Kampung Tersang, Pasir Mas.
Jualan boleh meningkat lima kali ganda
Peniaga makanan dan produk Thailand, Afifa Umar, 42, berkata jumlah pengunjung ketika ini tidak seramai dahulu, namun cuti sekolah memberi peluang kepada peniaga meningkatkan pendapatan.
Afifa yang sudah lapan tahun berniaga menyediakan pelbagai produk termasuk kacang, biji gajus dan asam masam manis. Beliau turut menambah stok sebagai persediaan menghadapi peningkatan permintaan.
“Kalau hari biasa jualan sekitar RM100, ketika cuti sekolah boleh mencecah hampir RM500 sehari. Jadi, kami tambah stok sedikit berbanding hari biasa,” katanya.
Menurut Afifa, peningkatan kehadiran pengunjung bukan sahaja penting kepada perniagaannya, malah mampu memberi limpahan ekonomi kepada peniaga lain dan sektor perkhidmatan di sekitar Rantau Panjang.
Beliau turut menyambut baik pembangunan kemudahan baharu menerusi projek pembinaan Dataran dan Menara Tinjau Pekan Rantau Panjang serta kerja menaik taraf stesen bas yang dijangka beroperasi pada tahun depan.
Kemudahan tersebut dilihat berpotensi menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan berkenaan.
Afifa berharap suasana meriah seperti dahulu dapat kembali kerana kedatangan orang ramai bukan sahaja menghidupkan pekan Rantau Panjang, malah membantu meningkatkan pendapatan peniaga tempatan.
Kawalan keselamatan beri keyakinan
Sementara itu, Zila Abdullah, 36, dari Kampung Temangan, Machang, berkata beliau bersama suaminya, Azhar Musa, 36, kerap berulang-alik ke Thailand dan menjangkakan jumlah pengunjung bertambah menjelang Hari Kebangsaan.
Dari aspek keselamatan, Zila berkata kawalan ketat oleh polis, tentera dan agensi berkaitan memberi keyakinan kepada orang ramai untuk berkunjung ke kawasan sempadan.
Bagaimanapun, pengunjung perlu terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa susulan perkembangan keselamatan di selatan Thailand.
Penduduk Bandar Rantau Panjang, Azizah Mohd Tahir, 55, pula berkata jumlah pengunjung lazimnya meningkat menjelang sambutan Hari Kebangsaan sehingga menyebabkan kesesakan trafik ke kawasan jambatan.
Sumber: Bernama
