Dua Rentung, Seorang Masih Hilang dalam Kebakaran 200 Rumah Atas Air

Dua mangsa ditemukan rentung manakala seorang lagi masih dikhuatiri hilang selepas kebakaran besar memusnahkan kira-kira 200 rumah atas air di kawasan Kampung Numbak, Kota Kinabalu, awal pagi Ahad.

Menurut Sinar Harian, kebakaran yang tercetus kira-kira jam 1.40 pagi itu melibatkan kawasan penempatan setinggan atas air jenis tidak kekal merangkumi Kampung Lok Buta, Kampung Lok Poring dan Kampung Sabang Lama.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.40 pagi.


Jentera bomba pertama tiba di lokasi kira-kira 14 minit kemudian, manakala anggaran awal mendapati sekitar 200 rumah terjejas dalam kebakaran tersebut.

Gunakan air laut untuk operasi pemadaman

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 1,000 kaki dengan empat pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada jentera bomba dan sumber air terbuka iaitu laut.

“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan berhampiran dan operasi pemadaman serta kerja-kerja overhaul sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi media.

Mohd Pisar berkata, tiga individu pada awalnya dilaporkan dikhuatiri hilang dalam kejadian berkenaan.

“Setakat ini, dua mangsa telah ditemui rentung oleh pasukan bomba, manakala operasi pencarian bagi seorang lagi mangsa masih diteruskan.

“Jumlah sebenar rumah yang terlibat serta status mangsa masih dalam proses pengesahan dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

Operasi libatkan 44 anggota bomba

Seramai 44 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Tuaran dikerahkan dalam operasi tersebut.

Operasi turut mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity.

Sehingga jam 6.26 pagi, kebakaran dilaporkan sudah terkawal. Pasukan bomba masih menjalankan kerja pemadaman, pemeriksaan sisa kebakaran serta operasi mencari mangsa yang belum ditemukan.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!