Buang Puntung Rokok Merata Antara Punca Kebakaran – MB Kelantan

Membuang puntung rokok merata-rata tanpa dipadam sepenuhnya dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes kebakaran di Kelantan sepanjang musim kemarau.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, banyak kebakaran dilaporkan berlaku ketika cuaca panas berterusan, terutama melibatkan kawasan semak samun dan rumput kering.

“Sempena musim kemarau, saya mengingatkan rakyat Kelantan supaya menjaga kesihatan dan tidak keluar terutama waktu tengah hari panas terik tanpa ada urusan penting.

“Apa yang saya lihat banyak berlaku kebakaran, kita lihat semak samun rumput mati dan kadang-kadang ada yang buang puntung rokok, mereka mungkin tidak sengaja namun perbuatan itu menyebabkan api bermula dari kecil hingga merebak.

“Kejadian sama berlaku di jalan ke Masjid Meranti namun dengan tindakan pantas pihak bomba dapat dapat dikawal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan, pada Sabtu.

Elak Pembakaran Terbuka, Pastikan Puntung Dipadam

Justeru, Mohd Nassuruddin menasihatkan orang ramai supaya memastikan puntung rokok dipadam sepenuhnya sebelum dibuang, selain mengingatkan rakyat agar tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh mencetuskan kebakaran lebih besar.

Menurutnya, musim kemarau yang melanda turut menyebabkan paras air sungai di negeri ini menyusut, selain banyak telaga dilaporkan semakin kering.

“Kerajaan negeri menerusi Dewan Ulama akan menganjurkan solat sunat Istisqa untuk memohon hujan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pakar klimatologi dan perubahan iklim menjangkakan tahun ini bakal merekodkan suhu dunia paling panas susulan fenomena El-Nino dan kesan pemanasan global.

Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim, Prof Emeritus Dr Fredolin Tangang dilaporkan berkata fasa El-Nino berupaya meningkatkan suhu dunia, dengan 2024 diisytiharkan sebagai tahun terpanas dunia susulan peningkatan 1.55 darjah Celsius.


Sumber: Berita Harian

SHARE:

TERKINI

AZM Rovers FC Jelaskan Sebab Tidak Sertai Liga A1 Musim 2026/27
|
AZM Rovers FC menjelaskan keputusan untuk tidak menyertai saingan…
Kanak-Kanak 11 Tahun Maut, Motosikal Diseret 50 Meter Dalam Nahas Di Besut
|
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas motosikal…
Dua Penunggang Motosikal Maut Dalam Tempoh Sejam Di Kuala Krai
|
Dua penunggang motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan yang…
RM6.26 Juta Dadah Dirampas, Ketua Sindiket Bergelar ‘Datuk’ Antara 291 Ditahan
|
Seorang ketua sindiket dadah bergelar 'Datuk' menjadi antara 291…
Bayi 11 Bulan Meninggal Dunia Selepas Terjatuh Dari Kerusi Di Rumah Pengasuh
|
Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan disahkan meninggal dunia…
Tujuh Beranak Di Tumpat Lega Gangguan Mistik Hilang Selepas Sebulan
|
Sebuah keluarga tujuh beranak di Kampung Kutan Sungai, Tumpat…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!