Seorang wartawan penyiasatan sukan dari Perancis, Romain Molina, mendakwa dia diberikan kata dua oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) supaya memadamkan hantaran di media sosial berkaitan isu kewarganegaraan palsu pemain bola sepak “warisan”.
Menurut Molina, dia diberi tempoh 24 jam bermula petang semalam untuk memadam hantaran yang dimuat naik di platform X, atau berdepan risiko tindakan undang-undang.
“Kelab Johor Darul Ta'zim mengarahkan saya untuk memadamkan catatan saya dan menyiarkan catatan lain dalam tempoh 24 jam dengan menyatakan bahawa kelab itu – dan, yang paling penting, pemiliknya, Pemangku Sultan Johor – tidak ada kena mengena dengan semua ini.
Jika tidak, saya akan menghadapi serangan dan tindakan undang-undang,” katanya di X semalam.
Menurut laporan Malaysiakini, hantaran itu turut disertakan salinan surat yang dikeluarkan JDT melalui ketua pegawai operasinya, Alistair Edward.
JDT Dakwa Hantaran Fitnah Dan Mengelirukan
Melalui surat tersebut, Edward mendakwa Molina membuat hantaran yang mencadangkan JDT mendapat manfaat atau terlibat dalam “sistem kewarganegaraan palsu” yang didakwa digunakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Kenyataan anda adalah palsu, mengelirukan dan bersifat fitnah,” kata Edwards.
Dalam surat itu juga, Edwards menegaskan bahawa JDT tidak pernah didakwa, disiasat atau digantung oleh FIFA atau mana-mana badan berkaitan dakwaan tersebut.
Molina Enggan Padam, Dakwa Fokus Kepada FAM
Bagaimanapun, Molina dilaporkan tidak memberi sebarang bayangan untuk memadam hantaran awal mengenai JDT yang dimuat naik pada 23 Mac lalu.
Katanya, intimidasi mungkin memberi kesan kepada sesetengah pihak, namun dia tidak akan tergugat dengan tekanan sedemikian.
“Jika anda fikir anda boleh menakut-nakutkan saya dengan (cara) ini, anda boleh cuba lagi,” tulisnya.
Molina turut menjelaskan bahawa hantaran yang dipertikaikan sebenarnya merujuk kepada FAM dan bukan JDT secara khusus.
“Adakah sebahagian daripada pemain yang dikenakan sekatan (penggantungan) kerana lesen palsu adalah sebahagian daripada Johor? Ya (Irazabal, Figueiredo atau Hevel).
“Adakah itu menunjukkan bahawa Johor bertanggungjawab atas pemerdagangan orang? Tidak, tetapi sebaliknya, Johor mungkin secara tidak sengaja melanggar peraturan (had) bilangan pemain asing yang dibenarkan dalam perlawanan Liga Super Malaysia,” katanya lagi.
Molina Dakwa Lebih Enam Pemain Import Beraksi
Molina turut memberikan contoh perlawanan Liga Super sebelum ini, apabila Irazabal, Figueiredo dan Hevel diturunkan bersama pemain import lain seperti Jairo da Silva, Bergson da Silva, Park Jun-heong, Moussa Sidibé, Oscar Arribas dan Eddy Israfilov.
Menurutnya, terdapat lebih daripada enam pemain import beraksi di atas padang, dengan tujuh daripadanya diturunkan sejak awal permainan.
“Jadi Liga Super Malaysia juga mesti terjejas. Itu saja, kecuali kelab anda mengatasi undang-undang,” tulisnya.
Dalam hantaran pada 23 Mac lalu, Molina turut menulis: “Walaupun sekatan (terlambat) yang dikenakan oleh Fifa ke atas pemain dan persekutuan (hanya denda), timbul persoalan: bagaimana pegawai-pegawai (FAM) berjaya terlepas daripada sebarang tindakan?”
Beliau juga mempertikaikan bagaimana badan induk bola sepak Malaysia masih beroperasi seperti biasa seolah-olah tiada sebarang isu berlaku.
Sumber: Malaysiakini, Otai Station, Romain Molina
SHARE:
