Seramai 12 anggota dan pegawai polis disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana disyaki terbabit dalam kes samun membabitkan kerugian kira-kira RM200,000 dalam bentuk mata wang kripto daripada sekumpulan warga China.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata laporan diterima pada jam 2.07 petang, 6 Februari lalu.
“Tindakan segera diambil dan seramai 12 anggota polis telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Kes masih dalam siasatan dan Polis Selangor menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam aktiviti jenayah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Difahamkan, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang asisten superintenden, seorang inspektor, seorang sarjan, enam koperal, dua lans koperal dan seorang konstabel berusia antara 24 hingga 47 tahun.
Sebelum itu, media melaporkan sepasukan pegawai daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial daerah menyerbu sebuah banglo dua tingkat di Country Heights, Kajang pada 5 Februari lalu selepas disyaki terdapat aktiviti penipuan dalam talian yang dikaitkan dengan sindiket di Kemboja.
Bagaimanapun, tiada bukti kegiatan jenayah ditemukan di lokasi terbabit.
Mangsa kemudian didakwa diugut akan ditahan serta dikenakan tindakan imigresen kecuali membayar RM400,000 kepada polis terbabit.
Selepas rundingan, anggota berkenaan didakwa bersetuju menerima bayaran 50,000 USDT yang dipindahkan ke alamat dompet kripto diberikan.
Penahanan dibuat susulan laporan polis oleh seorang juru ukur pasaran warga China berusia 31 tahun yang mendakwa dia dan tujuh rakannya dipaksa memindahkan mata wang kripto tersebut.
Kesemua 12 anggota terbabit ditahan beberapa hari selepas laporan dibuat dan siasatan masih dijalankan.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
