Tubuhnya kecil molek, namun semangat juang Nurul Ain Nadia Abdullah, 26, cukup luar biasa apabila terus cekal memandu bas ekspres demi menyara dua anak yang masih kecil.
Pada usia semuda itu, ibu tunggal berkenaan memikul tanggungjawab sebagai ibu dan ayah, memilih kerjaya sebagai pemandu bas — satu bidang yang jarang diceburi wanita.
Anak kelahiran Setiu, Terengganu itu berkahwin pada usia 18 tahun dan menimang cahaya mata pertama ketika berusia 20 tahun. Namun rumah tangganya berakhir pada 2022, beberapa bulan selepas melahirkan anak kedua.
“Selepas bercerai, saya bekerja sebagai pengawal keselamatan pada waktu malam.
“Siang pula, mengikut abang dan adik membawa lori sebagai kelindan. Daripada situlah timbul minat saya terhadap kenderaan berat,” katanya.
Menurutnya, beliau mengambil lesen kelas E pada 2021 sebelum menghadiri temu duga pada 2023 untuk mencari peluang sebagai pemandu lori.
“Daripada situ, muncul peluang apabila wakil sebuah syarikat bas ekspres mencadangkan saya menyertai kursus lesen bas bersama mereka.
“Selepas berbincang dengan keluarga, saya pun mencuba nasib dan saya bersyukur kerana berjaya mengikuti kursus Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) bas sebelum mula bekerja pada Mac 2023,” katanya.
Selepas menimba pengalaman, beliau menyertai Konsortium E-Mutiara Berhad awal tahun ini kerana jadual yang lebih fleksibel dan membolehkannya meluangkan masa lebih lama bersama anak.
“Bagi saya, pencapaian paling bermakna dalam hidup ialah mampu memastikan anak cukup makan pakai dan tidak tercicir persekolahan.
“Jika anak demam, saya tidak lagi terlalu bimbang tentang kos rawatan. Paling bermakna, saya masih dapat berbakti kepada ibu bapa dengan hasil titik peluh saya sendiri,” katanya.
Beliau memilih memandu bas kerana pekerjaan itu memberi kestabilan kewangan dan jaminan masa depan untuk diri serta anak.
Di sebalik kesibukan, Nurul Ain Nadia menyimpan impian membuka perniagaan sendiri seperti perkhidmatan sewa van atau inap desa berdasarkan pengalaman dalam bidang pengangkutan dan penginapan.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada wanita terutama ibu tunggal supaya tidak mudah menyerah kalah dan terus bangkit demi mengubah masa depan.
Sumber: Harian Metro
SHARE:
