Satu lagi kes menyayat hati melibatkan seorang bapa yang diabaikan anak-anak sendiri tular kali ini di Bunut Susu, Pasir Mas. Seorang lelaki warga emas dikenali sebagai Pak Din, 61, ditemui dalam keadaan sangat menyedihkan di dalam sebuah rumah usang.
Kes tersebut dikongsikan oleh sukarelawan dan aktivis Pertubuhan Jejak Jalanan, Mohd Azhan Mohd Adnan yang lebih dikenali sebagai Abbe Hae.
Menurut perkongsian itu, Pak Din ditemui dalam keadaan terlantar tidak berdaya, tidak mampu bergerak, dengan keadaan rumah yang dipenuhi najis serta berselerak. Lebih memilukan, tempat dia makan, tidur dan membuang najis adalah di ruang yang sama.
Penduduk kampung serta penghulu setempat dilaporkan telah berusaha membantu sekadar kemampuan, termasuk menghulurkan makanan. Namun untuk menguruskan Pak Din secara menyeluruh dalam satu masa amat sukar kerana memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga empat orang.
Difahamkan, Pak Din mempunyai empat orang anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan, namun tiada seorang pun yang datang menjenguk atau menjaga keadaannya.
Dalam satu kenyataan, Abbe Hae berkata:
“Walaupun bapa kalian garang, itu bukan lesen untuk kalian balas dendam. Dendam kalian akan membawa kalian ke neraka paling jahanam. Itu adalah janji Allah buat semua anak-anak penderhaka.”
Beliau turut berharap agar kisah Pak Din menjadi kes terakhir yang melibatkan anak mengabaikan ayah yang ditemuinya sepanjang penglibatan dalam kerja-kerja kebajikan.
Pak Din dibawah ke rumah penjagaan warga emas swasta dengan segala kos akan ditanggung oleh Abbe Hae.
SHARE:
