Kereta tergelongsor ke dalam sungai, dua beradik maut

PORT DICKSON – Dua beradik ditemukan lemas manakala ibu dan bapanya terselamat selepas kereta yang berada dalam keadaan parkir tiba-tiba tergelongsor jatuh ke dalam Sungai Tanjung Agas, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin berkata pihaknya menerima laporan kecemasan memaklumkan kejadian membabitkan ibu bapa berusia dalam lingkungan 40-an dan anak mereka masing-masing berusia enam dan lapan tahun pada 11.24 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku semasa empat beranak itu sedang berehat sambil memancing di kawasan terbabit dan secara tiba-tiba kenderaan mereka menggelongsor jatuh ke dalam sungai.

"Ketika kejadian bapanya berada di luar kereta, mangsa yang berada di dalam kenderaan itu kemudian menjerit meminta tolong. Pada masa sama, orang ramai yang berada berdekatan membantu dan berjaya menyelamatkan ibunya.

"Bagaimanapun, dua anak mereka tenggelam bersama kenderaan terbabit, pada 1.24 tengah hari kanak-kanak perempuan berjaya dinaikkan dan adik lelakinya dinaikkan pada 1.47 tengah hari. Mereka disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Maslan berkata kedua-dua kanak-kanak itu ditemukan dalam keadaan tertiarap di bahagian ruangan penumpang hadapan.

Beliau berkata kereta itu berkemungkinan mempunyai masalah teknikal menyebabkannya terus menjunam ke sungai walaupun enjin sudah dimatikan.

Maslan berkata operasi membawa naik kenderaan yang tenggelam dengan kedalaman empat meter dari dasar sungai itu telah dilakukan.

Beliau berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1957 dan bedah siasat dilakukan di Hospital Port Dickson esok.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan bahawa terdapat kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Nissan Teana yang terjatuh ke dalam sungai.

#KelantanDaily
Sumber: Bernama

TERKINI

Rezeki Haji Sekeluarga, Isteri Simpan Hasil Toreh Getah Suami Jual Lembu Demi Ke Tanah Suci
|
Rezeki menunaikan haji tahun ini benar-benar menjadi kenangan paling…
Kutipan Zakat MAIK 2025 Cecah RM354.6 Juta, Tertinggi Dalam Sejarah Kelantan
|
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)…
Abang Ipar Upah RM15 Satu “Trip” Seludup Petrol Ke Thailand
|
Taktik licik penyeludup yang membuat pembelian petrol secara berulang…
Dua Remaja Perempuan Mengaku Jadi Pengintip Tekong Darat Seludup PATI
|
Dua remaja perempuan dipercayai berperanan sebagai pengintip kepada tekong…
1,000 Rumah Musnah Dalam Kebakaran Di Sandakan, PM Arah Bantuan Segera
|
Kebakaran besar di perkampungan atas air Kampung Bahagia, Sandakan…
Tujuh Lelaki Didakwa Pakai Pakaian Wanita Di Apartment Jalan Mahmood
|
Tujuh lelaki didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di sini…
Jawatan Kosong Kelantan