Peniaga Hanya Raih RM20 Sehari, Pasar Borong Wakaf Che Yeh Semakin Tenat

Pasar Borong Wakaf Che Yeh di Kota Bharu yang suatu ketika dahulu menjadi nadi ekonomi malam dan ikon pelancongan Kelantan kini semakin hilang seri apabila peniaga mendakwa hasil jualan merosot ketara, malah ada yang hanya memperoleh sekitar RM20 sepanjang lima jam berniaga, termasuk pada malam minggu.

Situasi itu menggambarkan tekanan besar yang menghimpit peniaga kecil sehingga ada dalam kalangan mereka terpaksa menutup operasi.

Seorang peniaga pakaian wanita dan jersi, Wan Nur Hafizah Wan Husin, 43, berkata sejak lebih setahun lalu jumlah pengunjung semakin berkurangan sehingga hasil jualan tidak lagi sepadan dengan kos operasi harian.

“Berniaga sekarang bukan untuk simpan duit seperti dulu, tapi sekadar untuk kelangsungan hidup. Dari jam 7.30 malam hingga 12.30 tengah malam, kadang-kadang hanya laku sehelai baju RM20,” katanya yang sudah lebih 10 tahun berniaga di situ.

Menurut ibu kepada dua anak itu, setiap hari dia terpaksa menanggung pelbagai kos tetap termasuk bayaran tapak RM6.50, caj lampu RM1 setiap satu bagi enam unit serta upah pemasangan khemah RM27, menjadikan kos harian mencecah RM39.50 — jauh melebihi hasil jualan pada kebanyakan hari.

Keadaan sama turut dialami Nik Mohd Rosmizan Nik Abdul Rahim, 45, yang telah berniaga di Pasar Borong Wakaf Che Yeh sejak 20 tahun lalu.

Katanya, purata pendapatan pada hari biasa sekitar RM30 sehari, manakala hujung minggu pula sekitar RM100, itu pun hanya selepas jam 9 malam.

“Membimbangkan kami ialah komitmen besar seperti sewa kedai sehingga RM3,000 sebulan. Keadaan ini memaksa peniaga mencari alternatif lain termasuk berniaga dalam talian supaya perniagaan tidak gulung tikar,” katanya.

Menurut beliau, ada dalam kalangan rakan peniaga terpaksa meninggalkan tapak perniagaan dan mencari pekerjaan lain bagi menampung kehidupan.

“Pasar ini tidak lagi semeriah dahulu. Sekarang hanya hidup semula pada cuti umum dan musim perayaan,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga pakaian yang mahu dikenali sebagai Abdullah, 56, berkata isu caj parkir haram sebelum ini turut menyumbang kepada pengurangan pengunjung apabila kenderaan dikenakan bayaran sehingga RM5 dan bas RM20.

Beliau turut menafikan dakwaan harga barangan mahal, sebaliknya peniaga terpaksa bersaing sengit dengan platform jualan dalam talian dan lambakan festival makanan di seluruh negeri yang menarik perbelanjaan pengguna.

“Dulu hampir 650 peniaga berniaga di sini, sekarang tidak sampai separuh iaitu sekitar 200 peniaga sahaja. Ini angka yang membimbangkan,” katanya.



Beliau berharap sokongan rakyat Kelantan serta campur tangan strategik pihak berkaitan dapat menghidupkan kembali Pasar Borong Wakaf Che Yeh yang bukan sahaja menjadi sumber rezeki peniaga kecil, malah lambang ekonomi malam dan pelancongan negeri.

Sumber: Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

Polis Kelantan Berjaya Selesaikan Kes Pelajar Ditikam Kurang Dari 24 Jam
|
Kes pembunuhan tragis membabitkan seorang pelajar kolej wanita berusia…
“Hedonisme Melampau Bukan Budaya Malaysia” – Exco Kelantan Kritik Pesta Air Bukit Bintang
|
Isu penganjuran Pesta Air Bukit Bintang yang didakwa mencetuskan…
Cemburu Dipercayai Punca Pelajar Kolej Ditikam 61 Kali Di Ketereh, Polis Sifatkan Kes Selesai
|
Motif cemburu dipercayai menjadi punca pembunuhan seorang pelajar kolej…
Belalang Kerek Bukan Sekadar Hobi, Main Peranan Dalam Ekosistem
|
Fenomena memelihara dan mempertandingkan serangga eksotik dikenali sebagai “belalang…
Gadis Ditikam 61 Kali Keluar Makan Dengan 2 Suspek, Muat Naik Status WhatsApp Jam 11 Malam
|
Kes pembunuhan penuntut kolej wanita yang ditemukan mati dengan…
“Baru Sabtu Lepas Kami Hantar Dia…” Abang Mangsa 61 Tikaman Luah Sebak
|
“Baru Sabtu minggu lalu kami hantar adik menyambung semester…
Jawatan Kosong Kelantan