Kerajaan Kelantan merampas wang cagaran berjumlah RM8,000 daripada penganjur program Makar Fest XL susulan pelanggaran syarat lesen dan garis panduan hiburan negeri semasa konsert penutup festival tersebut pada 31 Januari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, YB Hilmi Abdullah dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu diambil selepas penelitian laporan bertulis daripada Pengarah Bahagian Perlesenan dan Kawalan Perniagaan serta semakan terhadap video tular yang memaparkan sekumpulan penonton menari dan melompat-lompat semasa persembahan pentas.
Menurutnya, festival berbentuk ekspo jualan dan makanan yang berlangsung dari 29 hingga 31 Januari 2026 di tapak parkir Mydin Mall Tunjung itu telah mendapat kelulusan hiburan daripada MPKB-BRI di bawah Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025, tertakluk kepada pematuhan Garis Panduan Hiburan dan Sukan Negeri Kelantan 2025.
“Hasil pemantauan sepanjang festival berlangsung, semua artis jemputan berjaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
“Namun pelanggaran syarat berlaku semasa persembahan Kugiran Masdo pada konsert penutup 31 Januari sekitar jam 10.30 malam,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, walaupun pihak penguat kuasa dan kru penganjur mengeluarkan beberapa penonton yang melakukan provokasi serta melanggar garis panduan hiburan, keadaan gagal dikawal sepenuhnya dan perbuatan itu terus berulang.
Menurutnya lagi, penganjur juga didapati gagal menghentikan persembahan bagi mengawal situasi, selain berlaku percampuran pengunjung lelaki dan wanita akibat kehadiran penonton di luar jangkaan tanpa penempatan petugas keselamatan yang mencukupi seperti disyaratkan.
“Pegawai Pelesen mendapati penganjur telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13(1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 serta gagal mematuhi syarat lesen dan garis panduan hiburan negeri,” katanya.
Susulan itu, wang cagaran penganjur sebanyak RM8,000 dirampas dan penganjur juga boleh dikenakan penalti maksimum sehingga RM30,000, selain berdepan risiko disenaraihitamkan sekiranya gagal membayar kompaun yang dikenakan.
Dalam masa sama, YB Hilmi menegaskan kerajaan negeri memahami keperluan rakyat untuk berhibur serta menyokong penganjuran festival makanan yang menjana pendapatan usahawan kecil dan mempromosikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan bertemakan “Food, Family, Festival”.
Namun katanya, kerajaan negeri tetap konsisten dalam memastikan adab, budaya dan akhlak, khususnya dalam kalangan generasi muda, terus dijaga dan dipelihara melalui pematuhan peraturan serta garis panduan hiburan yang ditetapkan.
SHARE:
