Bermula dengan hanya tiga ekor rusa yang diterima melalui bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, seorang pemuda dari Kampung Kundur, Gua Musang kini berjaya membangunkan projek penternakan sehingga memiliki 15 ekor rusa.
Mohd Salmizi Abu Hanifah, 41, berkata, ternakan tersebut berkembang hasil usaha pembiakan sejak 2019, selain beberapa ekor sudah disembelih dan dijual dagingnya di pasaran.
“Harga daging rusa kini mencecah sehingga RM120 sekilogram. Biasanya daging ini dijual kepada pengusaha kedai makan,” katanya.
Beliau yang juga penerima geran di bawah projek Rukun Tetangga (RT) Progresif melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), berkata ternakan rusa itu bermula dengan bantuan induk rusa daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Pada November tahun lalu, Mohd Salmizi menerima bantuan geran lebih RM40,000 melalui program RT Progresif yang digunakan sebagai suntikan modal untuk memperluaskan projek penternakan tersebut.
Menurutnya, sebahagian hasil jualan rusa itu turut disalurkan bagi menyokong pelaksanaan aktiviti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di kawasan setempat.
Terdahulu, projek berkenaan turut dikunjungi Pengarah JPNIN Kelantan, Zarina Zakaria bersama Ketua Jajahan Gua Musang, Mohd Roshdi Ismail yang meninjau perkembangan projek di Kampung Kundur.
Dalam perkembangan berkaitan, Zarina berkata, JPNIN Kelantan memperuntukkan sebanyak RM2.6 juta bagi melaksanakan 37 projek RT Progresif di seluruh negeri sejak dua tahun lalu.
Katanya, projek tersebut merangkumi pelbagai sektor termasuk penternakan dan pertanian komuniti seperti penternakan rusa, tanaman fertigasi, ayam belanda, lembu, kambing, ikan air tawar serta madu kelulut bagi membantu peningkatan ekonomi komuniti setempat.
Sumber: Harian Metro
SHARE:
