Bekas KP Perisikan Pertahanan Didakwa Terima Suapan USD20,000

Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk Mohd Razali Alias didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan wang berjumlah USD20,000 serta bayaran keseluruhan RM64,600 bagi pembelian tiket penerbangan ke luar negara untuk isterinya, dua tahun lalu.

Mohd Razali, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Saya faham pertuduhan, saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya dengan tenang.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima suapan wang USD20,000 daripada Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A. Rahman, 45, di The Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO), Kem Kementah, antara Ogos hingga November 2024.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan kepada tertuduh selaku Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan MDIO Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk meluluskan sijil pengesahan dan penerimaan perkhidmatan bagi tujuan pembayaran perolehan Perkhidmatan Senggaraan dan Perkhidmatan Sokongan Sistem Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP).

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Razali didakwa menerima bayaran RM26,800 bagi pembelian tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur–Malaga, Sepanyol untuk isterinya, Datin Azarina Bakia, 59, tanpa balasan daripada individu sama, sedangkan tertuduh mengetahui individu itu mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Pertuduhan ketiga pula melibatkan bayaran RM37,800 bagi pembelian tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur–Estonia untuk isterinya, juga tanpa balasan, dengan kesalahan didakwa dilakukan pada 28 April 2025.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai, manakala sebutan kes ditetapkan pada 16 Mac ini.



Sebelum ini, SPRM menahan 23 individu termasuk pegawai tinggi dan kanan ATM bagi membantu siasatan kes rasuah serta salah guna kuasa berkaitan perolehan dan penggunaan dana awam.

Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

Lelaki Dakwa Jadi ‘Nabi’ Cemas Dipukul Ombak Ketika Cuba ‘Belah Laut’
|
Seorang lelaki dikenali sebagai Ebo Noah menjadi perhatian ramai…
Kabinet Thailand Lulus Projek Bersama Malaysia Kurangkan Risiko Banjir Sungai Golok
|
Kabinet Thailand meluluskan pelaksanaan projek alam sekitar bersama Malaysia…
PASTI Terengganu Rangkul Anugerah Prasekolah Terbaik Dunia
|
Jabatan PASTI Negeri Terengganu mencipta kejayaan membanggakan apabila menerima…
Pengasas Produk Dipanggil JAHEIK, Bantu Siasatan Majlis Hari Jadi Tema Bunian
|
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) telah memanggil…
Pemuda Dari Bachok Maut Motosikal Jatuh Gaung Di Puncak Gerik
|
Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terjunam ke…
9 Tahun Menunggu, Wanita Akhirnya Bernikah Dengan Lelaki Dalam Penjara Tanah Merah
|
Seorang wanita akhirnya menamatkan penantian hampir sembilan tahun apabila…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!