Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan bahawa tiada kes baharu Penyakit Nipah dilaporkan di Malaysia setakat ini, susulan laporan media mengenai situasi wabak penyakit itu di West Bengal, India.
Menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman Facebook KKM, kementerian itu memaklumkan kejayaan membendung Penyakit Nipah sejak September 1999 menjadi faktor utama negara kekal bebas daripada jangkitan berbahaya tersebut.
Menurut KKM, Penyakit Nipah merupakan penyakit berjangkit zoonotik yang disebabkan oleh virus Nipah (NIV), dengan keluang atau kelawar buah dikenal pasti sebagai perumah semula jadi virus berkenaan.
“Jangkitan kepada manusia boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan cecair badan haiwan yang dijangkiti seperti air liur, darah dan rembesan, pengambilan makanan yang tercemar, serta kontak dengan cecair badan individu yang dijangkiti,” jelas kenyataan itu.
KKM turut memaklumkan antara gejala jangkitan termasuk demam, sakit kepala, muntah, batuk, sukar bernafas dan sawan, selain kekeliruan serta kebingungan yang lazimnya berlaku selepas tempoh pengeraman antara lima hingga 14 hari.
Dalam kes yang lebih serius, komplikasi jangkitan boleh menyebabkan radang otak (encephalitis) dan masalah pernafasan, dengan kadar kematian dianggarkan antara 40 hingga 75 peratus.
KKM menegaskan bahawa Penyakit Nipah merupakan penyakit wajib lapor di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Selain itu, pemantauan berterusan diperkukuh menerusi kerjasama bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) melalui pendekatan One Health.
“Setakat ini, tiada virus Nipah dikesan dalam kalangan haiwan domestik atau liar,” jelas KKM.
Orang awam dinasihatkan supaya mengelakkan sentuhan dengan haiwan yang sakit serta tidak mengambil produk yang disyaki tercemar, khususnya bagi pengembara di kawasan berisiko tinggi.
Pengembara dari kawasan terlibat juga disaran memantau tahap kesihatan diri dan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya berasa tidak sihat.
KKM menegaskan pihaknya kekal berwaspada terhadap risiko penularan rentas sempadan, biarpun Malaysia tidak merekodkan sebarang kes sejak 1999, termasuk melalui saringan kesihatan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) serta pengukuhan kapasiti makmal dan kesiapsiagaan fasiliti kesihatan.
SHARE:
