Tengkolok “Setangan Getam Budu” diisytihar warisan Negeri Kelantan

KOTA BHARU – Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra hari ini berkenan mengisytiharkan tengkolok khas "Setangan Getam Budu" sebagai Warisan Kelantan.

Majlis pengisytiharan itu disempurnakan baginda pada majlis perasmian Festival Tekstil dan Warisan Melayu Kelantan 2025 di Istana Balai Besar di sini.

Pegawai Protokol Pejabat Sultan Kelantan merangkap penyelaras festival itu, Mohamed Safaruddin Ismail berkata "Setangan Getam Budu" merupakan pakaian solekan istiadat yang bermula sejak 1925.
“Menariknya, tahun ini genap 100 tahun (Setangan Getam Budu) dan ia masih terus dipakai hingga kini,” katanya.

Setangan Getam Budu merupakan tengkolok khas negeri Kelantan yang menjadi tanjak rasmi kepada Sultan Kelantan.

Destar tersebut melambangkan kedaulatan institusi diraja dan dipakai oleh kerabat diraja, pembesar negeri serta pegawai tadbir dalam majlis-majlis adat istiadat di istana.

Getam Budu diperbuat sepenuhnya daripada sehelai kain songket tanpa dipotong. Proses pembuatannya sangat teliti, dimulakan dengan lipatan kain menjadi bentuk segi tiga bagi membentuk tapak seperti songkok, sebelum dijahit tangan secara kemas agar tidak kelihatan jahitan. 

Bahagian hadapan nya pula diperindah dengan lipatan berbentuk bunga, manakala simpulan khas menghiasi bahagian belakangnya.

Getam Budu mula dipakai semasa pemerintahan Sultan Ismail Sultan Muhammad IV sekitar tahun 1920 hingga 1944.

Setangan Getam Budu digandingkan bersama busana rasmi seperti baju kebangsaan dan samping hitam, menjadikannya simbol penuh wibawa dalam tradisi istana Kelantan.

Sebagai sebahagian daripada acara simbolik perisytiharan, Setangan Getam Budu telah diarak mengelilingi sekitar kawasan Istana Balai Besar dengan diiringi dua ekor gajah, iaitu Cheri dan Rambai yang menyemarakkan lagi suasana penuh adat dan warisan.

Program bermula sejak Ahad lepas dan akan berlangsung hingga 10 Sept ini menampilkan pameran pelbagai koleksi tekstil tradisional termasuk tenun, songket, kain pelangi, kain telepuk serta kain kelingkan yang pernah dipakai golongan bangsawan dan diraja.

Selain itu, pelbagai demonstrasi turut diadakan antaranya proses pembuatan kain telepuk menggunakan emas tulen, menenun songket, menghasilkan jebak puyuh serta ukiran barang kemas emas dan perak oleh pengukir tempatan.

#KelantanDaily
Sumber: Bernama, Media Point

TERKINI

MB Kelantan Salur Bantuan Awal Kepada Mangsa Kebakaran Gok Kapor
|
Kerajaan Negeri Kelantan menyalurkan bantuan awal kepada mangsa kebakaran…
Remaja 15 Tahun Cuci Kereta Demi Keluarga, MAIK Tampil Hulur Bantuan Buat Shamir
|
Seorang remaja berusia 15 tahun yang sebelum ini terpaksa…
Tragedi Tohoi: Hilang Dalam Hutan 47 Hari, Dua Murid Sekolah Berusia 10 Dan 11 Tahun Ditemui Selamat
|
Hampir 11 tahun berlalu, namun tragedi kehilangan tujuh murid…
Ibu Angkat Ditahan Kurung Kanak-Kanak 9 Tahun Dalam Stor Belakang Rumah
|
Nasib malang seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang…
Jangan Hukum Semua Pelarian Rohingya Kerana Kesalahan Segelintir Individu – ABIM
|
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan bahawa pendirian mereka…
Dilabel MP Rohingya, Ahli Parlimen Pasir Mas Mahu Ambil Tindakan Undang-Undang
|
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari memaklumkan akan mengambil…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!