Tindakan terburu-buru akibat gagal mengawal emosi membawa padah apabila seorang duda didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di Kota Bharu selepas mengaku bersalah menyebarkan gambar lucah separuh bogel bekas isterinya menerusi aplikasi TikTok.
Tertuduh, Muhamad Azim Othman, 28, dikenakan hukuman itu oleh Majistret Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah selepas pertuduhan dibacakan dan pengakuan bersalah direkodkan.
Dalam penghakimannya, Wan Mohd I’zzat menegaskan perbuatan tertuduh bercanggah dengan ajaran Islam dan tidak wajar dilakukan walaupun ketika marah.
“Kita orang Islam. Perbuatan ini tidak sepatutnya berlaku. Walaupun marah, kita perlu bersabar dan tidak bertindak di luar batas sehingga melakukan jenayah,” katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebarkan gambar lucah separuh bogel bekas isterinya yang sebaya umur dengannya kepada seorang lelaki berusia 27 tahun melalui akaun TikTok dengan niat mengaibkan mangsa.
Kesalahan itu dilakukan di Pengkalan Chepa pada jam 10.32 malam, 5 Januari lalu.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh terlebih dahulu menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp bagi mendapatkan gambar mangsa sebelum menyebarkan tangkap layar gambar tersebut.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Haziqah Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam Tengku Shazuan Tengku Shariffudin.
Dalam rayuannya, pihak pembelaan memohon hukuman diringankan dengan alasan tertuduh menyesal, bertindak ketika hilang kawalan emosi serta mempunyai dua orang anak kecil berusia lima tahun dan setahun. Tertuduh juga bekerja dalam bidang pemakanan dengan pendapatan sekitar RM1,700 sebulan.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda tersebut.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
