Sebahagian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong, Kuala Krai, memanfaatkan perkhidmatan utama yang disediakan secara percuma dengan menaiki kereta api untuk ke sekolah pada hari pertama sesi persekolahan hari ini.
Mereka ditemui ketika berlangsungnya Program KTMB Santuni Pelajar Wilayah Pantai Timur di Stesen Kereta Api Dabong, yang dilaksanakan bagi membantu pelajar khususnya di kawasan pedalaman mendapatkan akses pengangkutan yang selamat dan mudah ke sekolah.
Inisiatif oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu memberi kelegaan kepada pelajar dan ibu bapa, terutamanya pada hari pertama persekolahan yang sering melibatkan kos dan persiapan tambahan.
Perkhidmatan kereta api percuma berkenaan membolehkan pelajar tiba ke sekolah dengan lebih teratur, selain mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan persendirian serta risiko keselamatan perjalanan di jalan raya.
Program tersebut turut mencerminkan komitmen KTMB dalam menyantuni komuniti setempat serta menyokong kelangsungan pendidikan pelajar di wilayah Pantai Timur.
Sumber: Berita Harian
