Sebuah laluan alternatif sejauh kira-kira dua kilometer yang menghubungkan Gua Musang ke Cameron Highlands kembali menjadi perhatian pengguna jalan raya selepas laluan utama sebelum ini ditutup.
Susulan penutupan tersebut, pengguna terpaksa menggunakan Jalan Sungai Koyan yang mengambil masa tambahan sehingga tiga jam.
Namun, laluan alternatif yang dibina oleh pihak persendirian ini menawarkan perjalanan jauh lebih singkat, walaupun memerlukan pemandu lebih berhati-hati.
Menurut perkongsian seorang pengguna Facebook, Ahmad Nazrul, laluan berkenaan dibina oleh tuan tanah sendiri dengan kos mencecah puluhan ribu ringgit.
Jalan tersebut boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan termasuk kereta kecil seperti Perodua Axia, motosikal serta kenderaan pacuan empat roda.
Bagaimanapun, tindakan mengenakan caj kecil kepada pengguna jalan itu mengundang pelbagai reaksi, termasuk kecaman di media sosial.
“Untuk kereta biasa cuma RM2, motosikal percuma, manakala lori dan Hilux RM5. Aku rasa berbaloi dengan kos yang tuan tanah dah keluarkan,” katanya.
Tambahnya, jika pengguna merasakan caj tersebut mahal, mereka masih boleh memilih laluan lain seperti Jalan Sungai Koyan atau Grik walaupun perlu menambah masa perjalanan sehingga tiga jam.
Beliau turut mengingatkan pengguna agar lebih berhati-hati terutamanya pada waktu malam kerana laluan berkenaan tidak mempunyai lampu jalan. Video laluan tersebut dirakam pada 9 Januari 2026 sekitar jam 6 petang.
