Cubaan menyeludup rokok di sepanjang sempadan Sungai Golok berjaya dipatahkan apabila **Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga menahan seorang lelaki bersama rokok keretek bernilai lebih RM300,000 dalam Op Taring Pensura, pada Isnin.
Komander PPM Wilayah Tiga, Zulafendy Hassan, berkata suspek berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.30 petang di tebing Sungai Mentua berhampiran Jambatan Pulau Ular.
Menurutnya, ketika menjalankan rondaan berkala menggunakan bot, pihak berkuasa mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan di tebing sungai sebelum pemeriksaan dilakukan.
“Hasil pemeriksaan menemukan 10 guni mengandungi 96,000 batang rokok keretek yang disimpan di bahagian belakang kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, suspek memberikan kerjasama penuh sepanjang pemeriksaan dan kesemua 480 karton rokok yang dirampas bersama suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat untuk tindakan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM321,760.
“Tangkapan ini merupakan kes keenam berjaya direkodkan oleh PPM Wilayah Tiga bagi operasi seumpama ini,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau barang larangan import.
Dalam perkembangan sama, Zulafendy memaklumkan bahawa sepanjang tahun ini sahaja, PPM Wilayah Tiga berjaya merampas kira-kira 1.7 juta batang rokok seludup dengan nilai keseluruhan termasuk cukai mencecah RM4.1 juta.
Sumber: Sinar Harian
