Geng Mat Sero tumpas ketika cuba seludup 35 warga Myanmar ke Lembah Klang

Cubaan Geng Mat Sero menghantar 35 warga Myanmar yang diseludup masuk ke Lembah Klang berakhir apabila mereka ditahan Jabatan Imigresen dalam satu Ops Khas di sekitar Kota Bharu, semalam, lapor Berita Harian.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan yang diketuai Mat Sero serta seorang lelaki Myanmar dipercayai bertindak sebagai transporter.

Menurutnya, kumpulan ini sudah menjadi sasaran risikan selama tiga bulan sebelum pasukan operasi digerakkan untuk memintas kenderaan digunakan mereka.

“Mereka membawa warga asing menggunakan lapan kenderaan. Ketika pemeriksaan, kumpulan ini bertindak agresif dan cuba melarikan diri, malah melanggar beberapa kenderaan termasuk milik pasukan operasi. Bagaimanapun mereka berjaya dipintas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi bermula jam 5.52 pagi, membabitkan 20 pegawai dan anggota Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Imigresen Putrajaya dan Kelantan.

Siasatan awal mendapati Geng Mat Sero membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui laluan tikus di sempadan Malaysia-Thailand di sekitar Kelantan menggunakan transporter warga Myanmar sebelum diserahkan kepada transporter tempatan untuk dihantar ke lokasi tertentu sekitar Lembah Klang.

“Sindiket ini dikesan beroperasi setiap minggu dan aktif sejak enam bulan lalu. Mereka mengenakan caj antara RM400 hingga RM500 bergantung jarak perjalanan,” katanya.

Tiga suspek tempatan dan seorang warga Myanmar itu ditahan mengikut Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007, manakala 35 warga Myanmar berusia antara lima hingga 45 tahun ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 untuk tindakan lanjut.



Turut disita tiga telefon bimbit serta lapan kenderaan termasuk Mitsubishi Triton, Toyota Cross, Innova, Rush, Voxy, Isuzu D-Max, Nissan X-Trail dan Proton X90.

Sumber: Berita Harian

TERKINI

RM6.26 Juta Dadah Dirampas, Ketua Sindiket Bergelar ‘Datuk’ Antara 291 Ditahan
|
Seorang ketua sindiket dadah bergelar 'Datuk' menjadi antara 291…
Bayi 11 Bulan Meninggal Dunia Selepas Terjatuh Dari Kerusi Di Rumah Pengasuh
|
Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan disahkan meninggal dunia…
Tujuh Beranak Di Tumpat Lega Gangguan Mistik Hilang Selepas Sebulan
|
Sebuah keluarga tujuh beranak di Kampung Kutan Sungai, Tumpat…
SMKA Naim Lilbanat Sekolah Pertama Di Kelantan Miliki Kelas Berasaskan AI
|
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, Kota Bharu…
Durian Serendah RM1.30 Sekilo Di Tumpat, Harga Esok Ditentukan Pembeli
|
Lambakan durian musim ini memberi rezeki kepada pencinta raja…
Suami Tetak Isteri Guna Parang Sebab Tegur Jiran Lelaki
|
Seorang suri rumah berusia 40 tahun cedera parah selepas…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!