Seorang lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia ketika menunggang basikal di Kampung Tapang, dipercayai akibat serangan jantung dalam kejadian yang berlaku pagi tadi, lapor Harian Metro.
Mangsa berusia 64 tahun itu difahamkan baru membeli basikal tersebut di Kedai Lalat dan dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di hadapan sebuah premis menjual cat.
Saksi, Tuan Mazli Tuan Yaacob, 49, berkata dia berada di kawasan berdekatan sekitar jam 10 pagi sebelum dipanggil pemilik premis yang mendapati seorang lelaki terbaring di hadapan kedainya ketika mahu membuka premis tersebut.
Katanya, mereka mendapati mangsa sudah tidak bergerak, wajahnya pucat kebiruan dan terdapat darah keluar dari hidung.
Mereka tidak berani menyentuh mangsa lalu terus menghubungi polis untuk tindakan lanjut. Turut dijumpai resit pembelian basikal yang masih baharu dipercayai ditunggang lelaki itu.
Mangsa dikatakan mempunyai sejarah penyakit jantung dan menerima rawatan sejak dua tahun lalu.
Mayat dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia HUSM Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.
Sumber: Harian Metro
