Ketua Polis Kelantan terima ancaman selepas tutup pangkalan haram dan isytihar perangi dadah
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat, mendedahkan bahawa beliau menerima ancaman susulan tindakan tegas menutup operasi pangkalan haram di sepanjang sempadan Malaysia–Thailand sejak larangan itu berkuat kuasa pada 1 Disember 2024.
Menurut laporan Utusan, Mohd. Yusoff berkata tindakan beliau mengisytiharkan “jihad dadah” serta mengetatkan kawalan di pangkalan haram menyebabkan dirinya terdedah kepada ancaman berdasarkan maklumat daripada pasukan cawangan khas.
“Bila saya isytiharkan perkara ini buat apa nak takut. Kalau saya tidak buat, siapa yang akan lakukan?” katanya.
Beliau menegaskan bahawa apa yang dilakukan adalah demi keselamatan negara dan tindakan itu tidak boleh dikendurkan hanya kerana ada pihak tidak berpuas hati.
Ini bukan ancaman pertama diterimanya. Tahun lalu, media turut melaporkan bahawa Polis Kelantan menerima pelbagai ancaman sejurus larangan menggunakan laluan tidak diwartakan untuk keluar masuk dari Thailand mula dikuatkuasakan.
Ketika itu, Mohd. Yusoff tidak memperincikan jenis ancaman diterima namun menegaskan bahawa polis tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan ketenteraman awam dan keselamatan negara.
No posts found!
“Dalam hal ini, ada yang menyokong dan ada yang tidak, namun pelaksanaannya perlu diteruskan demi kedaulatan negara,” katanya.
Sumber: Utusan, Bernama
