Kelantan peruntuk RM1.43 bilion dalam belanjawan 2026

KOTA DARULNAIM, 6 November – Kerajaan Negeri Kelantan hari ini membentangkan Belanjawan Negeri Kelantan 2026 berjumlah RM1.43 bilion yang menekankan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial rakyat.

Belanjawan bertemakan “Kelantan Sejahtera: Prihatin Rakyat, Ekonomi Berkat dan Negeri Rahmat” itu digerakkan di bawah kerangka dasar Kelantan Sejahtera, berteraskan Dokumen Induk Penghayatan Membangun Bersama Islam (MBI) 2023–2033.

Menurut Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud, belanjawan kali ini memberi tumpuan kepada empat teras utama.

“Teras pertama ialah pembelaan dan pemberdayaan rakyat dengan peruntukan RM67.27 juta, manakala teras kedua melibatkan keterjaminan makanan dan kemampanan ekonomi dengan dana RM81.77 juta.

“Teras ketiga pula menumpukan kepada kesejahteraan rakyat dan kelestarian negeri sebanyak RM95.08 juta, dan teras keempat yang menjadi fokus utama ialah pembangunan Islam, pendidikan dan modal insan dengan peruntukan RM181.71 juta,” katanya.

Menariknya, Belanjawan 2026 mencatatkan pengurangan defisit kepada RM86.2 juta, berbanding RM93.02 juta pada tahun 2025 — penurunan sebanyak RM6.82 juta atau 7.33 peratus.

Menurut Menteri Besar, pengurangan defisit itu dicapai melalui pelarasan semula peruntukan bawah Wang Terkanun serta penyusunan semula pinjaman kerajaan negeri yang kini diuruskan melalui Kumpulan Wang Amanah Pinjaman Kerajaan Negeri Kelantan.

Langkah tersebut, katanya, dapat meningkatkan kawalan fiskal dan memperkukuh tadbir urus kewangan negeri bagi memastikan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan perbelanjaan awam.



“Semua jabatan dan agensi negeri diingatkan agar terus mengamalkan budaya kerja yang berintegriti dan berhemat, selari dengan prinsip pengurusan ihtirafi yang menjadi teras pentadbiran kerajaan negeri,” ujarnya.



#KelantanDaily
Sumber: Media Point, UPKN Kelantan

TERKINI

Bomba Kelantan Rekod 1,509 Kes Kebakaran Terbuka Sejak Mac, Bachok Tertinggi
|
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan peningkatan…
Kelantan Sasar Pasaran China & Singapura, Rangka Promosi Pelancongan Lebih Efektif
|
Kerajaan Negeri Kelantan kini merangka pendekatan promosi pelancongan yang…
Bengkel Kereta Di Jalan Long Yunus Kota Bharu Terbakar, Lima Kenderaan Hangus
|
Sebuah bengkel kereta di Jalan Long Yunus, Kota Bharu…
Pengeluaran Dron Serangan Iran Meningkat 10 Kali Ganda Sejak Perang
|
Kadar pengeluaran dron serangan Iran dilaporkan meningkat sehingga 10…
YIK Lahirkan 5,720 Huffaz, 432 Graduan Tahfiz Dirai Dalam Majlis Graduasi Kali Ke-16
|
Yayasan Islam Kelantan (YIK) berjaya melahirkan seramai 5,720 huffaz…
MB Manfaat Lawatan PM Sabtu Ini, Bincang Pembangunan Perlu Disegerakan
|
Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke…
Jawatan Kosong Kelantan