KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas 47 unit kenderaan mewah tidak bercukai dengan nilai keseluruhan melebihi RM6.2 juta termasuk cukai, sejak Januari hingga 16 Oktober lalu.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata rampasan tersebut melibatkan pelbagai jenama kenderaan mewah yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran tanpa melalui prosedur cukai sah.
Menurut beliau, rampasan dilakukan hasil risikan dan operasi bersepadu di beberapa lokasi termasuk Kelantan, Kuala Lumpur dan Johor, melibatkan kawasan sempadan serta pusat jualan kenderaan terpilih.
“Antara kenderaan yang dirampas ialah Volkswagen Beetle, Volvo S80, BMW 325i, Maserati Ghibli, Honda Jazz, Toyota Vellfire dan Mercedes Benz.
“Harga yang ditawarkan oleh sindiket ini serendah RM53,000 hingga RM185,000, iaitu 35 hingga 40 peratus lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Tambahnya, sindiket berkenaan dikesan menggunakan pelbagai kaedah bagi menarik pembeli termasuk mengiklankan kenderaan di media sosial, meskipun kenderaan itu tidak memiliki permit import dan dokumen sah.
Wan Jamal berkata, semua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau mengendalikan barang belum lulus kastam.
#KelantanDaily
Sumber: Bernama
