KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menuntut komitmen penuh daripada Kerajaan Persekutuan terhadap pelaksanaan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang disifatkan masih belum mendapat perhatian sewajarnya.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, isu LPT3 telah berulang kali dibangkitkan oleh wakil rakyat Terengganu dan Kelantan, namun sehingga kini tiada perkembangan positif mengenainya.
“Projek LPT3 adalah isu yang sering disuarakan oleh Ahli-ahli Parlimen Terengganu dan Kelantan namun sehingga kini masih dipandang sepi oleh Kerajaan Persekutuan.
“Kita mengharapkan LPT3 akan mendapat perhatian dan komitmen sewajarnya demi kemaslahatan 3.14 juta penduduk Terengganu dan Kelantan,” katanya menerusi hantaran di laman sosial pada Ahad.
Dalam perbahasan Belanjawan Malaysia 2026 di Dewan Rakyat, Ahmad Samsuri menegaskan bahawa pelaksanaan LPT3 wajar diberi keutamaan selepas terlalu lama ditangguhkan.
Katanya, projek LPT3 yang diumum sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada 2006 dengan kos asal RM2.867 bilion kini meningkat kepada RM9.8 bilion berikutan beberapa kali penangguhan.
“Walaupun kajian awal telah siap pada Ogos 2022, projek ini masih tidak disenaraikan dalam RMK-13 dan Belanjawan 2026.
“Berdasarkan jawapan Menteri pada sidang lalu, projek ini masih di peringkat penyediaan dokumen Request for Proposal (RFP) walaupun sudah sekian lama dibangkitkan. Sedangkan manfaatnya akan dirasai oleh lebih 3.14 juta penduduk di dua negeri,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa asas kestabilan negara bergantung kepada kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan yang perlu dijalankan secara telus dan adil.
Sehubungan itu, Ahmad Samsuri mencadangkan supaya satu formula khusus diwujudkan bagi memastikan tadbir urus dan pengagihan fiskal dapat dijalankan secara seimbang di seluruh negeri.
“Tiada negara yang mampu mencapai kemajuan sebenar tanpa penyertaan wilayah secara saksama. Bagaimana Malaysia ingin mencapai status negara maju menjelang 2030 jika ketidakseimbangan wilayah masih wujud.
“Ketidakseimbangan ini berpunca daripada pengagihan fiskal antara negeri dan Persekutuan yang tidak berasaskan keperluan sebenar,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan ketiadaan formula objektif dalam menentukan keperluan dan keupayaan fiskal setiap negeri.
“Jika tiada formula khusus, negeri-negeri kurang membangun akan terus terperangkap, bukan kerana tiada potensi tetapi kerana struktur pengagihan yang tidak adil.
“Selagi jurang ini tidak ditangani, negara akan terus tersekat dalam perangkap pendapatan sederhana,” katanya.
#KelantanDaily
Sumber: Sinar Harian
