KOTA BHARU – Bau busuk yang dihidu penduduk membongkar penemuan satu mayat reput di kawasan semak berhampiran tebing Sungai Kelantan, Kampung Cina di sini pada Ahad malam, menurut laporan Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam pada jam 10.20 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
“Pemeriksaan mendapati mayat dipercayai lelaki warga asing berdasarkan tiada kesan suntikan BCG pada badan. Mangsa ditemui memakai seluar jeans paras lutut berwarna biru cerah dalam keadaan sudah mereput,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mayat berkenaan dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk proses bedah siasat.
Menurut Mohd Rosdi, hasil pemeriksaan awal mendapati anggaran tempoh kematian adalah antara lima hingga tujuh hari sebelum mayat ditemui.
“Tiada kecederaan luaran dikesan dan punca kematian tidak dapat dipastikan kerana keadaan mayat mereput. Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” jelasnya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Sarjan Mohd Fazle Mat Ali di talian 018-2436955 atau mana-mana balai polis berhampiran.
#KelantanDaily
Sumber: Sinar Harian
