Selepas lebih 20 tahun meninggalkan alam persekolahan, seorang ibu sanggup kembali menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) demi memberi semangat kepada anak sulungnya yang menghidap autisme.
Mazlina Abdul Majid, 44, mengambil keputusan mendaftar sebagai calon persendirian supaya dapat menduduki peperiksaan bersama anaknya, Muhammad Adam Daniel Othman, 17, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Bharu, hari ini.
Mazlina yang bekerja sebagai Pembantu Pembedahan Pergigian di Klinik Pergigian Kota Bharu berkata, keputusan itu dibuat kerana anaknya sering mengadu hilang semangat dan berasa putus asa untuk menghadapi peperiksaan besar.
"Adam seorang penghidap autisme yang didiagnos dua tahun lalu dan dia selalu mengadu tiada semangat, selain rasa putus asa untuk menduduki peperiksaan besar.
"Saya mengambil keputusan untuk menemaninya dengan cara mendaftar sebagai calon persendirian dan menduduki SPM di pusat peperiksaan sama dengan Adam untuk memberi dorongan padanya.
"Selain itu, saya juga dapat membaiki keputusan peperiksaan SPM diperoleh dulu untuk kenaikan gred pekerjaan kalau memperoleh keputusan baik nanti," katanya ketika ditemui di sekolah itu hari ini.
Belajar Bersama Pada Waktu Malam
Mazlina berkata, beliau mendapat kebenaran daripada jabatan untuk menduduki SPM pada Mei lalu sebelum memulakan persiapan dengan belajar menerusi YouTube.
Beliau turut mendapatkan pengajar peribadi bagi mata pelajaran Matematik selain mengulang kaji bersama Adam pada waktu malam.
"Saya hanya belajar dan membuat ulang kaji pada waktu malam dan kebanyakannya dilakukan bersama Adam untuk memberikannya dorongan.
"Kini saya pula yang rasa berdebar, namun tidak dapat menyembunyikan perasaan bangga kerana dapat bersama anak walaupun tidak berada di dewan peperiksaan yang sama," katanya.
Mazlina mengambil enam mata pelajaran dalam peperiksaan kali ini.
Anak Turut Bersemangat Dengan Kehadiran Ibu
Sementara itu, Muhammad Adam Daniel berkata, dia berasa lega apabila ibunya turut menduduki peperiksaan bersama-sama dengannya.
Menurutnya, kehadiran ibu di sisi membantu memberikan semangat ketika berdepan kesukaran memahami pelajaran.
"Memang susah untuk belajar tapi apabila ibu ada di sisi menemani dan ulang kaji bersama, rasa lega dan saya akan cuba yang terbaik," katanya.
Anak sulung daripada empat beradik itu berharap dapat memperoleh keputusan yang baik bersama ibunya.
Adam turut menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang guru.
Kisah mereka membuktikan sokongan keluarga boleh menjadi sumber kekuatan buat seseorang anak ketika berdepan cabaran dalam pendidikan.
Sumber: Utusan, Berita Harian
