Seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan membawa masuk warga asing tanpa dokumen perjalanan sah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.
Penahanan pegawai berusia lingkungan 40-an itu pada 17 November lalu dipercayai berlaku selepas seorang pegawai wanita AKPS menyedari tindakan pegawai atasannya yang didakwa melanggar prosedur ditetapkan.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya bersedia memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan serta membongkar kemungkinan wujud rangkaian lebih besar dalam kegiatan penyeludupan migran.
“Kami berharap pihak PDRM dapat merungkai rangkaian yang lebih besar daripada penangkapan pegawai ini dan saya bersedia untuk bekerjasama dengan PDRM dalam isu ini.
“Tangkap berapa ramai yang perlu ditangkap. Saya rasa rakyat Malaysia sudah cukup dengan kegiatan seperti ini,” katanya selepas Majlis Penajaan Inisiatif Sang Perkasa, di sini, hari ini.
Ketua Pengarah Puji Keberanian Pegawai Wanita
Menurut Mohd. Shuhaily, kes berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana kegiatan sedemikian berpotensi membabitkan percaturan kaunter atau counter setting.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai modus operandi kes itu kerana siasatan masih dijalankan.
“Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan. Saya hanya boleh menjelaskan mengenai pegawai saya dan keberanian beliau,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau memuji keberanian pegawai wanita yang tampil melaporkan perkara berkenaan dan menyifatkannya sebagai titik permulaan kepada perubahan dalam organisasi itu.
“Saya akan menemui pegawai berkenaan dalam masa terdekat untuk menyampaikan penghargaan atas keberanian dan integriti yang ditunjukkan.
“Keberanian seperti ini perlu dihargai dan dihormati kerana hanya seorang individu boleh mengubah apa yang berlaku di lapangan. Beliau berani tampil walaupun berdepan cabaran dan saya akan berada di belakang beliau,” jelasnya.
Katanya, pegawai wanita berkenaan kini masih berada dalam tahanan pihak polis.
Disyaki Bawa Masuk Wanita Asing Tanpa Dokumen
Sebelum ini, pegawai AKPS berusia lingkungan 40-an itu ditahan pada 17 November lalu selepas disyaki membawa masuk seorang wanita warga asing berusia 38 tahun tanpa dokumen perjalanan sah melalui kaunter pemeriksaan imigresen di KLIA Terminal 2.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 26B(d) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis.
Sumber: Utusan
