Seramai 965 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kelantan dikenal pasti berdepan risiko banjir membabitkan 14 pusat peperiksaan di empat jajahan sepanjang tempoh peperiksaan tahun ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata, kawasan yang terlibat ialah Pasir Mas dengan sembilan pusat peperiksaan, diikuti Machang dan Tumpat masing-masing dua pusat serta Kuala Krai satu pusat.
Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, lapan pusat peperiksaan mempunyai laluan ke pusat dan kediaman calon yang berisiko terjejas banjir.
Manakala enam lagi melibatkan jalan menuju ke pusat peperiksaan yang ditenggelami air, tetapi pusat peperiksaan dan kediaman calon tidak terjejas.
“Keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan SPM tahun ini adalah seramai 27,998 orang.
“Daripada jumlah itu seramai 398 Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sempena lawatan rasmi hari pertama SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Bharu, hari ini.
Ops Payung Diaktifkan Hadapi Kemungkinan Banjir
Dalam pada itu, Siti Norina berkata, JPN Kelantan menjalinkan kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Kerjasama itu bertujuan memastikan akses calon ke pusat peperiksaan sentiasa terjamin sepanjang tempoh peperiksaan.
“Pelan kontingensi seperti Ops Payung turut diaktifkan sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana atau cuaca buruk sepanjang tempoh peperiksaan.
“Semua persiapan logistik, keselamatan, dan kebajikan calon telah berada pada tahap optimum bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan,” katanya.
Langkah berkenaan dilaksanakan bagi memastikan calon dapat menduduki peperiksaan SPM walaupun berdepan cabaran cuaca dan risiko banjir di beberapa kawasan.
Sumber: Utusan
