Sepasang pasangan muda ditahan pihak penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) selepas didapati berdua-duaan di dalam sebuah kereta di sekitar kawasan Tunjong, Kota Bharu.
Penahanan itu dilakukan menerusi operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan kelakuan tidak senonoh di sekitar kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
Menerusi perkongsian di Facebook rasmi MPKB-BRI, pihak penguat kuasa berjaya mengesan pasangan terbabit hasil operasi dan pemantauan yang dijalankan.
Pasangan muda itu kemudian ditahan selepas didapati berada berdua-duaan di dalam kenderaan di lokasi berkenaan.
Menurut MPKB-BRI, operasi berkenaan bertujuan mencegah aktiviti tidak bermoral selain memastikan kawasan pentadbirannya sentiasa terkawal, selamat dan terpelihara.
Usaha itu juga dilaksanakan selaras dengan imej Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam.
MPKB-BRI turut meneruskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan persekitaran bandar raya itu kekal dalam keadaan baik serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.
