Misteri kehilangan enam individu termasuk lima sekeluarga sejak tiga bulan lalu akhirnya terbongkar apabila rangka mereka ditemui di dalam sebuah rumah terbiar yang terbakar di kawasan kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, Skudai.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, laporan kehilangan dibuat oleh bekas suami kepada salah seorang mangsa pada jam 1.28 tengah hari, 9 Januari lalu selepas dia menemui sendiri rangka manusia di lokasi berkenaan.
Menurutnya, lelaki berusia 48 tahun itu sebelum ini berusaha menjejaki bekas isterinya bersama anak-anak dan pergi ke rumah terbabit selepas mendapat maklumat mereka pernah tinggal di situ.
“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat rangka manusia di dalam rumah yang musnah dipercayai dibakar. Pengadu kemudian tampil membuat laporan polis,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Pemeriksaan forensik mengesahkan terdapat enam rangka manusia membabitkan seorang wanita berusia 35 tahun, seorang lelaki dewasa berusia 29 tahun, seorang remaja perempuan berusia 17 atau 19 tahun, dua kanak-kanak perempuan berusia sembilan dan lima tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.
Hasil bedah siasat mendapati mayat dipercayai dibakar kira-kira tiga bulan lalu.
Susulan penemuan itu, polis menahan empat individu pada 21 Januari terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita, kesemuanya warga tempatan berusia antara 19 hingga 35 tahun di sekitar kawasan Iskandar Puteri bagi membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek mempunyai hubungan sebagai rakan penagih. Semakan rekod menunjukkan semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing mendapati tiga daripadanya positif dadah jenis methamphetamine.
Kes dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara Johor dan keputusan dibuat untuk mendakwa dua suspek lelaki mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dua lagi suspek dibebaskan dengan bon jaminan polis dan dipanggil sebagai saksi, manakala pertuduhan dijadualkan dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Jika sabit kesalahan, hukuman boleh dikenakan adalah hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan serta prosiding mahkamah.
Sumber: Kosmo, Sinar Harian
SHARE:
