Jenazah Dr Ainul Baraah Bakal Dibawa Pulang ke Kelantan

Jenazah Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33, dijangka dibawa pulang ke Kelantan hari ini 11 September sekiranya proses pengesahan identiti selesai.

Menurut laporan Bernama, suaminya, Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, berkata Kementerian Kesihatan bersama agensi berkaitan sedang berusaha mempercepat proses pengesahan identiti kelima-lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram.

“Sekiranya proses itu selesai, jenazah arwah isteri saya dijangka dibawa pulang ke Kelantan untuk urusan pengebumian esok,” katanya ketika dihubungi pada 10 September.

Sampel asid deoksiribonukleik (DNA) kelima-lima mangsa termasuk Dr Ainul Baraah akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia di Kuching untuk dianalisis bagi membantu proses pengecaman.

“Barangan peribadi milik arwah juga sudah diserahkan kepada pihak berkuasa semalam untuk proses pengecaman,” katanya.

Keluarga menunggu di Miri

Muhammad Faiz kini berada di sebuah hotel di Miri bersama ibu dan bapa mentuanya sementara menunggu perkembangan daripada pihak hospital serta pihak berkuasa.

“Buat masa ini kami sekeluarga belum dibenarkan melihat jenazah arwah dan masih menunggu perkembangan terkini daripada pihak berkuasa. Mungkin petang ini kami akan dibawa ke hospital,” katanya pada 10 September.

Pada Rabu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram.

Lokasi kejadian terletak kira-kira 929 kilometer dari Kuching. Helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi perkhidmatan doktor udara (FDS) ketika kejadian.

Residen Bahagian Miri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang mengesahkan kesemua lima individu di dalam helikopter itu meninggal dunia dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang.

Selain Dr Ainul Baraah, mangsa yang terkorban ialah juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!