Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu atas pertuduhan mengedar dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) minggu lalu.
Menurut laporan Sinar Harian, Teoh Wai Loon, 44, dan isterinya, Lim Suk Pei, 38, didakwa melakukan kesalahan tersebut secara bersama-sama kira-kira jam 10.30 malam pada 4 Ogos lalu.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa mengedar MDMA dengan anggaran berat 480.60 gram di sebuah bilik dalam premis di Bercham Bistari 4, Medan Bercham Bistari, Ipoh.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan dalam daerah Kinta, Perak.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Sekiranya tidak dihukum mati, mereka hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira di hadapan Majistret S Punitha.
Mahkamah menetapkan 7 Disember depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.
Tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh.
Sumber: Sinar Harian
