46 Projek Bernilai RM207.2 Juta Diluluskan Untuk Pasir Puteh

Pasir Puteh bakal menerima suntikan pembangunan apabila kerajaan meluluskan 46 projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dengan siling peruntukan keseluruhan berjumlah RM207.2 juta.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, antara projek utama yang diluluskan ialah kerja-kerja pengendalian tanah dan pembangunan infrastruktur kawasan industri hiliran Pasir Puteh bagi menyokong aktiviti berhampiran Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menurut beliau, pembangunan kawasan sekitar Stesen ECRL Pasir Puteh akan dilaksanakan secara bersepadu menerusi Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (PGTA-ECRL).

"Pembangunan kawasan sekitar Stesen ECRL Pasir Puteh dirancang secara bersepadu menerusi Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (PGTA-ECRL), dengan stesen itu dikenal pasti sebagai hab penumpang serta hab kargo dan logistik.

"Kedudukan stesen yang berhampiran Tok Bali Supply Base memberi kelebihan kepada Pasir Puteh untuk berkembang sebagai hab logistik dan industri hiliran, sekali gus berpotensi menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh mengenai kesediaan kerajaan menyokong usaha Kerajaan Negeri Kelantan membangunkan ekonomi hiliran di kawasan sekitar Stesen ECRL Pasir Puteh.

Mohd Shahar berkata, sinergi antara kemudahan rel dan pelabuhan dijangka mampu menarik lebih banyak pelaburan, membuka peluang pekerjaan baharu dan memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut.

"Di bawah RMK-13, kita bukan hanya memberi penekanan kepada projek, malah turut mengambil kira kekuatan sesuatu kawasan. Sekiranya kekuatan kawasan itu ialah logistik, kita akan memberi tumpuan kepada sektor logistik. Jika berkaitan pelancongan, maka infrastruktur pelancongan akan diberi keutamaan," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa projek-projek di bawah RMK-13 akan mula dilaksanakan tahun ini dan dijangka siap secara berperingkat sehingga tahun 2030.

Menurutnya, kemajuan pelaksanaan projek akan dipantau menerusi sistem MyRMK dan dilaporkan kepada Dewan Rakyat dari semasa ke semasa.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!