Wanita 56 Tahun Maut Tergelincir Ketika Mendaki Gunung Di Gua Musang

Seorang pendaki wanita berusia 56 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam Sungai Betis ketika mendaki di kawasan Gunung Gerah, Gunung Bilah dan Gunung Biyed, Pos Balar, Gua Musang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihak polis menerima makluman berhubung kejadian itu pada jam 3.21 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa merupakan sebahagian daripada kumpulan pendaki seramai 11 orang yang memulakan pendakian pada 1 Mei lalu.

“Mangsa dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai ketika melalui Sungai Beris, kira-kira 7.30 malam, 2 Mei lalu.

“Usaha pencarian segera dijalankan oleh ahli kumpulan namun mangsa tidak ditemui pada malam kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Mangsa kemudian ditemui kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 8 pagi, Ahad lalu sebelum disahkan meninggal dunia.

Difahamkan, mangsa merupakan seorang ibu tunggal dari Kuala Lumpur.

Susulan kejadian itu, pihak polis menyelaras Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengeluarkan mayat mangsa.

Menurut Sik Choon Foo, operasi menyelamat melibatkan perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda selama kira-kira empat jam sebelum pasukan penyelamat meneruskan perjalanan berjalan kaki hampir 10 jam ke lokasi kejadian.

Selepas menempuh perjalanan keseluruhan selama 28 jam, pasukan penyelamat berjaya membawa keluar mayat mangsa sebelum tiba di Hospital Gua Musang pada jam 10 malam tadi.

“Polis bersama agensi berkaitan sudah menjalankan tindakan lanjut di lokasi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan, membuat perancangan rapi serta menggunakan khidmat pemandu arah bertauliah ketika menjalankan aktiviti pendakian, khususnya di kawasan hutan dan sungai yang berisiko tinggi.


Sumber: Harian Metro

SHARE:

TERKINI

Lelaki Ditemukan Maut Dengan Kesan Tikaman Dalam Bilik Mandi Di Kota Bharu
|
Seorang lelaki berusia 28 tahun ditemukan maut dengan kesan…
Kerajaan Kelantan Tegas Terhadap Perlombongan Haram Selepas Tragedi Di Jeli
|
Kerajaan Negeri Kelantan melahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap…
Laluan Jalan Lojing – Gua Musang Kini Dibuka Semula Kepada Semua Kenderaan
|
Laluan FT185 Seksyen 107.60 Jalan Lojing – Gua Musang…
45 Rumah Di Pasir Mas Dikesan Buat Sambungan Haram Bekalan Air
|
Sebanyak 45 rumah di kawasan perumahan Prima Lubok Jong,…
Penoreh Getah Dipenjara 12 Bulan Cederakan Anggota Polis Di Gua Musang
|
Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh…
Empat Motosikal Polis Trafik Musnah Dalam Kebakaran Di IPD Pasir Puteh
|
Empat motosikal polis trafik musnah dalam satu kebakaran yang…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!