Penerbangan Terus Kota Bharu–Jakarta Dibuka Bermula 16 Jun

Kejayaan lawatan rasmi Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud ke Indonesia membuka lembaran baharu hubungan serantau apabila laluan penerbangan terus Kota Bharu–Jakarta berjaya dibuka.

Penerbangan tersebut dijadualkan bermula pada 16 Jun ini dengan kekerapan empat kali seminggu, sekali gus dilihat mampu memperkukuh jaringan antarabangsa Kelantan serta merancakkan potensi ekonomi rakyat.

Impak Besar Kepada Pelancongan Dan Ekonomi

Dato' Mohd Nassuruddin berkata, pembukaan laluan udara itu dijangka memberi kesan besar kepada sektor pelancongan serta merangsang pertumbuhan ekonomi melalui pengembangan perdagangan, pelaburan, pendidikan, kesihatan dan hubungan rakyat antara kedua-dua wilayah.

Menurutnya, hubungan Kelantan dan Jakarta memiliki asas persaudaraan yang kukuh berteraskan persamaan agama, bangsa, bahasa serta budaya yang sudah lama menjadi jambatan kebersamaan.

“Kelantan–Jakarta Ibarat Adik-Beradik”

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Kelantan Day di Jakarta pada 14 Mei lalu.

“Ketika merasmikan program Kelantan Day di Jakarta pagi tadi (14 Mei) saya tegaskan bahawa hubungan Kelantan–Jakarta ibarat adik-beradik yang diikat dengan banyak persamaan, antaranya agama, bangsa, bahasa dan budaya.

“Hubungan ini diharapkan tidak terikat kepada agenda diplomatik semata-mata, sebaliknya lahir daripada keikhlasan dan persaudaraan yang mendalam demi manfaat bersama,” katanya menerusi media sosial.

Kelantan Diperkenal Sebagai Destinasi Strategik

Beliau memaklumkan, peluang berucap di hadapan penggiat industri pelancongan Indonesia dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkenalkan identiti dan kelebihan Kelantan sebagai destinasi strategik di rantau ini.

Antara potensi yang diketengahkan termasuk khazanah seni dan budaya, keindahan alam semula jadi, pusat pendidikan, kepelbagaian makanan tradisional serta perkhidmatan kesihatan berkualiti dengan kos kompetitif di Kota Bharu.

Kelantan Berpotensi Jadi Hab Transit Ke Pulau Dan Selatan Thailand

Menurutnya, dengan kedudukan geografi yang strategik, Kelantan juga berpotensi menjadi pintu masuk utama dan hab transit sebelum pelancong meneroka pulau-pulau berhampiran serta wilayah Selatan Thailand.

“Dengan kedudukan geografi yang strategik, Kelantan juga berpotensi menjadi pintu masuk utama dan hab transit sebelum pelancong meneroka pulau-pulau berhampiran serta wilayah Selatan Thailand,” jelasnya.

Penghargaan Kepada Wakil Menteri Luar Indonesia Dan Industri Pelancongan

Dalam lawatan tersebut, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Wakil Menteri Luar Negeri Republik Indonesia, Arif Havas Oegroseno atas kerjasama erat dalam menjayakan agenda strategik berkenaan.

Penghargaan turut dizahirkan kepada pemain industri pelancongan Eddy Krismeidi Soemawilaga, Nuniek Noorfiani serta Farzamie Sarkawi yang banyak membantu melancarkan urusan delegasi Kerajaan Negeri Kelantan sepanjang berada di Jakarta.

Silat Dan Dikir Barat Curi Perhatian Di Jakarta

Bagi memperkenalkan identiti budaya negeri kepada masyarakat Indonesia, delegasi Kelantan turut mempersembahkan seni silat dan dikir barat secara langsung yang dibawa khas dari Kota Bharu.

Persembahan kumpulan Suara Muzium yang dipimpin juara tukang karut dilaporkan berjaya mencuri perhatian hadirin dan menerima sambutan positif daripada penggiat industri serta para undangan.

Jemput Warga Jakarta Terbang Terus Ke Kota Bharu

Pada kesempatan itu, Menteri Besar Kelantan turut mempelawa masyarakat Indonesia khususnya warga Jakarta untuk berkunjung ke Kelantan bagi menikmati keunikan budaya, gastronomi serta pengalaman pelancongan yang ditawarkan.

“Buat saudara-saudara dari Indonesia khususnya Jakarta, yok langsung terbang ke Kota Bharu. Kelantan menanti ketibaan anda semua,” ujarnya.


Sumber: inforakyat.kelantan.my

SHARE:

TERKINI

Empat Pasukan Bakal Berentap Dalam Kejohanan Pra Musim Di Kota Bharu
|
Peminat bola sepak bakal disajikan dengan aksi menarik apabila…
Kerajaan Cadang LPT3 Secara Kerjasama Awam Swasta Berikutan Kekangan Kewangan
|
Cadangan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3)…
Dua Wanita Antara Enam Individu Didakwa Seludup 10 Migran Bangladesh
|
Enam individu termasuk dua wanita dan seorang warga Thailand…
Mekanik Direman Kes Rogol Dan Samun Remaja Ketika Joging Di Tumpat
|
Selepas hampir sebulan kejadian yang menggemparkan penduduk Palekbang, Tumpat,…
Polis Tahan Lelaki Rohingya, Disiasat Kes Rogol Remaja Di Bachok
|
Seorang lelaki etnik Rohingya direman selama enam hari selepas…
Program Disko Retro Di Kota Bharu Disiasat, Pemilik Restoran Dakwa Tidak Tahu
|
Apa yang pada mulanya dipercayai hanya sebuah majlis tertutup…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!