Penganggur Didakwa Samun Pelanggan Kedai Serbaneka Di Kota Bharu

Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Rabu atas pertuduhan melakukan samun terhadap seorang pelanggan di sebuah kedai serbaneka di Jalan Long Yunus pada Mei lalu.

Tertuduh, Muhamad Hazriq Aiman Ab Ghani, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyamun Mohamad Muhammad Safwan Rosdi, 22, di sebuah kedai serbaneka di Jalan Long Yunus kira-kira jam 3.56 pagi pada 7 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyimie Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Syafiq Aizat Nazri.

Terdahulu, Kamarul Hasyimie tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!